Dalam Rumah Siap Ada Ruang Solat & Quran, Pendakwah 'Tersentak' Lihat Rumah Transgender
Golongan transgender perlu dibantu, ubah persepsi buruk kita terhadap mereka.
Isu membabitkan golongan transgender semakin mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat lebih-lebih selepas tularnya kontroversi membabitkan usahawan kosmetik, Nur Sajat yang bertelekung di tanah suci Mekah
Ibarat kata pepatah, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Begitulah juga yang berlaku dalam situasi ini apabila ramai golongan transgender lain turut terkena tempiasnya hari ini akibat daripada perlakuan Sajat.
Sebenarnya, mungkin masih ramai dalam kalangan masyarakat yang memberi persepsi buruk terhadap golongan transgender ini apabila ada yang beranggapan bahawa mereka sudah terlalu jauh dari Tuhan, dan tidak menjalankan perintah Allah khususnya menunaikan solat lima waktu.
Namun, perkongsian yang dibuat pengguna Twitter Akhi Fairuz Al-Jengkawi ini pastinya akan membuka mata kita tentang kehidupan seorang transgender yang mungkin tidak diketahui umum.
Di dalam Tweet yang dikongsikannya itu, dia menceritakan semula pengalamannya bersahabat dengan seorang individu yang juga merupakan seorang transgender.
Menerusi perbualan di antara dirinya dengan individu terbabit, dia telah dimaklumkan tentang bagaimana individu transgender itu boleh mula menjadi seperti itu. Apa yang mengejutkan, individu transgender tersebut memberitahu bahawa dirinya telah berperwatakan sebegitu sejak dari sekolah rendah lagi.
Meneruskan perbualan, individu itu turut memberitahu bahawa dirinya telah mengambil pil hormon ketika berada di sekolah menengah sehingga memberikan perubahan pada kulit, selain payu daranya juga turut kelihatan seperti wanita.
Sambil mempersoalkan mengapa hanya golongan transgender dipandang hina masyarakat, individu itu berkata bahawa mereka juga cuba untuk berubah untuk kembali ke fitrah asal termasuklah meninggalkan dunia pelacuran.
Apa yang lebih menyentuh hati, individu ini turut meluahkan bahawa dirinya sendiri gembira
apabila melihat insan sepertinya cuba untuk berubah dan berhijrah menjadi seperti lelaki normal.
Malah katanya, dirinya sendiri kecewa apabila melihat seorang usahawan yang dahulunya dilihat sudah berubah menjadi seorang lelaki sejati kini kembali semula menjadi transgender.
Meneruskan ceritanya, pengguna Twitter ini kemudian berkata dirinya diajak untuk ke rumah individu itu memandangkan hari sudah lewat malam.
Namun apa yang mengejutkan, rumah lelaki transgender tersebut turut mempunyai satu ruangan khas untuk solat seperti surau, malah turut kelihatan beberapa naskhah al-quran dan juga tasbih. Melihat perkara itu, dirinya sendiri turut tersentak dan secara tidak langsung mengubah persepsi serta pandangannya terhadap golongan transgender.