"Ada Sebab Kenapa Pakai Helmet" Warga Asing Protes Baling Air Kencing Kepada Petugas PKPD
Kenapa perlu buat sampai macam tu?
Beberapa buah tempat telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) susulan daripada penularan wabak Covid-19
Bangunan Selangor Mansion dan bangunan Malayan Mansion, yang terletak di Jalan Masjid India Kuala Lumpur merupakan lokasi terbaru yang telah dikenakan PKPD sejak tiga hari lalu.
Ia dilakukan selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan terdapat 15 kes baharu positif wabak koronavirus Covid-19 yang dikesan di bangunan berkenaan.
Namun begitu, baru beberapa hari dilaksanakan PKPD di kawasan tersebut, dikatakan telah berlaku kejadian yang kurang 'enak' terhadap para petugas keselamatan di situ
Memetik laporan Sinar Harian, warga asing yang kini dikenakan PKPD di kediaman sekitar kawasan tersebut didakwa telah mula menunjukkan protes dengan melempar barangan dari tingkat atas bangunan. Selain sampah, barangan lain yang turut dicampakkan adalah bungkusan plastik yang berisi air kencing.
Laporan yang memetik sumber itu berkata, petugas yang terdiri daripada polis, tentera, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan RELA terpaksa berdepan situasi itu ketika mereka melakukan kawalan selama 24 jam di kawasan berkenaan.
Menurut sumber tersebut, sikap biadab penghuni warga asing itu ketara sejak dari awal PKPD lagi gara-gara tidak berpuas hati dengan perintah berkenaan dan juga kemungkinan kerana masalah mendapatkan bekalan makanan.
Perbuatan itu telah membuatkan petugas keselamatan yang mengawal kawasan itu terpaksa memakai helmet sepanjang masa
"Bukan saja-saja askar pakai helmet ketika berkawal di bangunan-bangunan kediaman itu. Jika kita lihat ketika kawalan sekatan jalan raya, askar tak pakai helmet pun, hanya pakai beret.
"Pakai helmet sebab nak elak daripada kena benda yang dibaling dari atas. Bawang putih pun dibaling dari dalam rumah. Jadi kita tak dapat kenal pasti dari unit mana," kata sumber.
Para petugas hanya menjalankan tanggungjawab mereka. Tolonglah berikan kerjasama yang sebaiknya untuk memudahkan kerja mereka.