"Diarah Buka Kasut & Rendam Kaki Dalam Cecair Clorox" - Ini Kisah Perit Rakyat Filipina
Bersyukur jadi rakyat Malaysia.
Seluruh dunia kini sedang mendepani wabak Covid-19 termasuklah Malaysia
Namun di Malaysia, sejak pandemik wabak ini berlaku, kerajaan telah giat memberikan pelbagai bantuan kepada rakyat dalam mendepani krisis akibat wabak Covid-19.
Antaranya, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat bagi menyalurkan bantuan kepada golongan yang terjejas susulan wabak tersebut.
Boleh dikatakan, rakyat Malaysia antara yang paling bertuah di dunia kerana pelbagai insentif telah diberikan oleh kerajaan semata-mata bagi memastikan setiap rakyat terbela dan mampu meneruskan hidup ketika krisis global ini.
Di Facebook, seorang majikan telah berkongsikan kisah pembantu rumahnya yang merupakan warga Filipina
Menurut wanita bernama Nor Zabetha ini, pembantu rumahnya telah meluahkan kepadanya tentang betapa beruntungnya rakyat Malaysia mendapat kerajaan yang sangat prihatin berbanding di Filipina.
Bukan itu sahaja, pembantu rumah itu turut menceritakan situasi sebenar yang berlaku terhadap rakyat di Filipina pada ketika ini yang mana jauh sekali berbeza dengan di Malaysia.
Sejak ia dikongsikan, kisah tersebut telah mendapat lebih daripada 4 ribu shares di Facebook. Untuk perkongsian penuh, teruskan membaca di bawah:
Cerita pembantu rumah tersebut, di Filipina telah berlaku rusuhan kerana bantuan makanan tidak sampai kepada penduduk sejak 2 minggu selepas perintah berkurung
Pembantu rumah saya ini orang, Filipina. Dialah jadi kawan buat bersembang. Kadang-kadang bila saya menonton perutusan atau ada apa-apa perkembangan yang dimaklumkan kerajaan, selalu saya kongsikan dengannya.
Dia cakap untunglah jadi rakyat Malaysia sebab polis dan tentera masih baik kerana Presiden Filipina sudah umumkan, siapa ingkar perintah akan ditembak.
Di Filipina, berlaku rusuhan kerana bantuan makanan tidak sampai kepada penduduk sejak 2 minggu selepas perintah berkurung kerana Covid-19. Mereka lapar. Mereka menunjukkan bantahan dan berkumpul sehingga tercetusnya pergaduhan.
Kata Presiden Filipina, sesiapa yang ingkar arahan "Tembak mereka hingga mati, arahan saya adalah kepada polis, tentera dan pegawai di kampung. Jangan cabar kerajaan. Kau akan kalah!"
Minggu lepas, mereka perlu dapatkan bekalan ubat dari kota untuk ibunya. Sumpah, suaminya tidak berani keluar untuk ambil bekalan ubat dari kota. Katanya, jika mereka menaiki pengangkutan awam, mereka perlu melalui sekatan jalan di setiap kampung sebelum sampai ke kota.
Mereka akan diarahkan membuka kasut, dan merendamkan kaki dalam cecair seperti klorox di setiap sekatan jalan raya. Fuh! Tentera mereka juga, memang tegas. Tiada kompromi.
Katanya lagi, kerajaan ada juga hulurkan wang bantuan kepada keluarga miskin tetapi bantuan memang tidak akan sampailah pada keluarga miskin kerana pihak atasan sudah masuk poket mereka dulu. Dia kata untunglah orang Malaysia serba serbi dapat. Dilayan baik pula oleh polis dan tentera.
Filipina ini, memang miskin sehingga mereka terpaksa menjual buah pinggang untuk kelangsungan hidup. Kalau jual buah pinggang, mereka hanya dapat RM10,000 sahaja ditangan. Sepatutnya dapat lebih tinggi tetapi sudah disapu oleh agen dan suap sana sini sikit.
Dia selalu rasa orang Malaysia ini beruntung, serba-serbi ada
Dia paling takut kalau saya hendak keluar rumah. Disuruhnya saya berhati-hati, itu dan ini. Kalau balik rumah terus dia basuh barang-barang. Dicuci segala baju.
Katanya kalau saya keluar dan apa-apa berlaku, apalah nasibnya dan Nadra nanti. Dia juga takut kalau saya bawa balik kuman, sebab Nadra masih kecil, takut berjangkit. Dia juga takut terkena, katanya orang miskin macam dia pasti tidak akan dirawat rapi dan pasti mati. Itu katanya.
Dia selalu rasa orang Malaysia ini beruntung, serba-serbi ada. Di kampungnya hendak basuh baju pun perlu pam air dengan tangan. Untunglah sistem pengairan kita bagus. Serba serbi orang Malaysia cukup.
Kadar kemiskinan di Malaysia tidak seperti Filipina. Mereka betul-betul miskin. Ada sekelompok mereka yang tinggal di atas kawasan kubur dan buat penempatan. Tidur di atas batu marmar kubur, memasak di situ, makan di situ.
Disebabkan kemiskinan, juga dia terpaksa meninggalkan dua anaknya dan suami dan mencari kerja di Malaysia.
Waktu bulan pertama dia datang dulu, saya selalu lihat matanya merah baru lepas menangis. Dia cuba sembunyikan. Dia banyak termenung. Masa mula-mula video call dengan anaknya berusia 4 tahun, merajuk anaknya melihat Nadra.
Kata anaknya "Baby siapa itu? Kenapa tinggalkan saya untuk baby itu?". Menangis anak itu berlari tidak mahu cakap dengan ibunya. Berhari-hari juga anaknya merajuk, tidak mahu bercakap dengan video call.
Dia selalu buat saya rasa bahawa bertuah jadi rakyat Malaysia. Dia hairan melihat kemeriahan masakan di rumah kita, tidak putus-putus lauknya, terutama hari raya dan puasa.
Saya selalu bergurau dengannya, Malaysia ini orang tidak akan mati kerana tak makan tetapi selalunya mati kerana makanan (penyakit). Makanlah sebanyak mana dia hendak makan.
Benarlah. Orang Malaysia amat beruntung cuma segelintir kita masih tak mahu menghargai.