Digelar Captain Ri Malaysia, Netizen Samakan Rupa Kadet Tentera Udara Ini Dengan Hero CLOY
Sekali pandang, memang ada iras orang Korea lah!
Tular di media sosial hari ini, seorang anak jati Malaysia melanjutkan pengajian sebagai kadet tentera udara di Royal Military College Saint Jean, Kanada
Remaja lelaki yang dimaksudkan itu ialah Muhammad Fahmi Mohd Yunus berusia 21 tahun, dia menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia ketika ini.
Muhammad Fahmi merupakan anak keempat daripada enam adik-beradik dan merupakan kadet pertama Malaysia yang menjalani latihan di kolej ketenteraan di Kanada tersebut sejak 2018.
Menurut sumber, tidak mudah untuk Muhammad Fahmi bersaing dengan keupayaan tentera Kanada yang jauh lebih kuat kerana saiz fizikal mereka lebih besar.
"Tambahan pula, mereka suka menambah jarak kilometer (km) ketika latihan ruck march (jalan sejauh 19 kilometer selama tiga jam dengan membawa senapang dan bebanan 40 kilogram (kg)," katanya.
Dia terpaksa berjalan lebih pantas sepanjang ruck march bagi memastikan tidak tertinggal daripada kumpulan.
Memotivasikan diri bila sedih dengan cara mengingatkan diri sendiri iaitu dia akan memalukan negara jika tidak memanfaatkan peluang ini sebaiknya
Menurutnya, cabaran lain yang diharungi adalah menjalani latihan pada musim sejuk selama tiga bulan.
"Ribut salji yang melanda wilayah Quebec menyebabkan suhu jatuh mencecah -38 darjah celcius. Cuaca terlalu sejuk menyebabkan dapur yang digunakan untuk memanaskan badan beku.
Ketika itu, saya takut dan risau kerana bimbang badan tidak mampu menahan kesejukan melampau, ditambah pula tiada api untuk memanaskan badan," katanya.
Namun begitu, Muhammad Fahmi berkata, terlalu banyak pengalaman berharga diperoleh walaupun baru dua tahun menjalani latihan berkenaan.
Ramai yang menggelarnya Captain Ri Jeong Hyeok, hero dalam K-drama popular Crash Landing On You (CLOY)
Susulan tularnya satu tweet dari @Marchfoward di Twitter tentang Muhammad Fahmi, ada netizen yang berkata wajahnya seperti orang Korea dan iras hero dalam drama popular Korea, CLOY.
Berkongsi perasaan apabila terpilih menjalani latihan di Royal Military College Saint Jean, katanya, dia seolah-olah tidak percaya apabila dapat mewakili Malaysia kerana ramai lagi calon yang hebat.
"Membawa Jalur Gemilang ke pusat latihan di Kanada adalah beban dan tanggungjawab yang berat.
Bagaimanapun, jangan sesekali menunjukkan kelemahan diri dan buktikan kita tidak sama seperti orang lain yang hanya menyarung uniform tentera. Lakukan latihan dengan sepenuh hati," katanya.
Hebat sungguh kadet tentera udara kita ni, semoga Muhammad Fahmi terus mengharumkan nama Malaysia di luar negara :)