seismik

Awas! Hidung Selalu Tersumbat & Sering Berdarah Antara Petanda Kanser Hidung!

Jaguh badminton perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei sedang menghidap kanser hidung dan dikatakan sedang mendapatkan rawatan di Taiwan.

Cover image via Edisi Rakyat

Dua hari lalu, 22 September, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei sedang menghidap kanser hidung

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, bekas pemain nombor satu dunia itu sedang menjalani rawatan di Taiwan.

"Sebagai maklum balas terhadap laporan mengenai Chong Wei, BAM mengesahkan pemain berkenaan didapati mengidap kanser hidung peringkat awal. Proses rawatannya berjalan lancar dan ketika ini sedang berehat bersama keluarga dan teman rapatnya.

"Bagi pihak Chong Wei, saya mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa mengambil berat dan berdoa untuk dirinya. Sokongan anda akan memberi kekuatan kepada Chong Wei," kata Datuk Seri Norza.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Image via Sinar Harian

Masalah kesihatan yang dialami Datuk Lee Chong Wei adalah punca beliau terpaksa menarik diri daripada Kejohanan Dunia di Nanjing serta Sukan Asia Jakarta-Palembang bulan lalu.

Datuk Lee Chong Wei dikatakan sedang mendapatkan rawatan di Taiwan dan dijangka pulang dalam tempoh dua minggu lagi.

Image via Berita Harian

Kanser hidung amat sukar dikesan pada peringkat awal kerana kebanyakan simptom bagi penyakit ini tidak spesifik dan mirip penyakit-penyakit biasa

Image via Geopol Monitor

Ini termasuklah masalah hidung tersumbat yang mungkin dianggap resdung, sakit kepala yang biasanya dikaitkan dengan tekanan atau tidak cukup rehat, dan hilang pendengaran yang mungkin ditafsirkan akibat trauma atau jangkitan kuman pada telinga.

Menurut Ketua Pusat Saringan Kesihatan Kanser Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dr. Dalilah Kamaruddin berkata, "Ramai yang menganggap simptom-simptom ini benda ringan. Amat jarang untuk mereka mensyaki ia adalah kanser kerana simptom-simptomnya tidak jelas dan boleh disebabkan oleh bermacam perkara."

Ketua Pusat Saringan Kesihatan Kanser Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dr. Dalilah Kamaruddin

Image via Harian Metro

Beliau bagaimanapun menggariskan dua simptom utama yang wajib diberi perhatian iaitu hidung sering berdarah dan tersumbat, serta kewujudan benjolan pada tengkuk.

Buat masa ini, tiada ujian khusus atau screening test untuk mengesan penyakit tersebut, berbeza dengan kanser lain seperti kanser payu dara, kanser usus atau kanser serviks

Untuk mengesan kanser hidung, doktor selalunya akan menggunakan skop nasofarinks (nasoscopy) yang dilengkapi kamera atau melakukan CT Scan, PET Scan ataupun MRI, bagi mengesan sebarang ketumbuhan luar biasa sel di kawasan terlibat.

Image via Oh Kunak

Di samping itu dengan melakukan ujian darah bagi mengesan virus Epstein-Barr, iaitu sejenis virus yang biasa dialami pesakit kanser. Walau bagaimanapun, Dr. Dalilah menyatakan bahawa tidak semua pesakit kanser menghidap virus ini.

"Jika dapat dikesan awal maka peluang untuk pulih lebih tinggi, namun kebanyakan pesakit hanya diagnos dengan kanser ini pada peringkat dua atau tiga," ujarnya.

Kanser nasofarink adalah kanser kelima paling kerap berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia dan kanser ketiga paling tinggi dalam kalangan lelaki di negara ini iaitu meliputi 8.2 peratus daripada jumlah kes kanser.

Pengambilan makanan masin serta berawet, dikatakan antara faktor utama yang menggalakkan pertumbuhan kanser nasofarinks

Image via You Beli

Makanan seperti belacan, ikan masin, asam, jeruk, dinasihatkan untuk tidak diambil dalam kuantiti yang berlebihan kerana makanan ini boleh meningkatkan risiko kanser ini.

Pada masa yang sama, faktor genetik juga dipercayai antara punca yang perlu diberi perhatian memandangkan penyakit kanser melibatkan perubahan DNA sel.

Faktor risiko lain termasuklah pengambilan alkohol, tabiat merokok, dan pendedahan berlebihan kepada habuk atau bahan kimia seperti formaldehid.

Menurut Dr. Dalilah, rawatan yang biasanya dijalankan ke atas pesakit kanser nasofarinks adalah radioterapi, kimoterapi, terapi ubat sasaran dan disusuli dengan pembedahan jika perlu

Pembedahan biasanya mengambil masa yang panjang, kadangkala sehingga 10 jam, berikutan kedudukan kanser itu di lokasi yang sempit dan tersembunyi.

"Selepas pembedahan, pesakit akan mengalami kesukaran untuk makan dan terpaksa bergantung kepada tiub untuk beberapa minggu.

"Oleh sebab itu saya berpendapat orang ramai perlu diberi lebih kesedaran tentang kanser ini supaya dapat dikesan awal, sekaligus mengurangkan keperluan untuk pembedahan," tambah Dr. Dalilah.

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Lagi artikel menarik di SAYS Seismik:

You may be interested in: