Hormati Wanita Yang Bersalin Secara Caeser. Ini 6 Keperitan Yang Perlu Mereka Lalui
Perit dan sakit yang hanya kaum hawa faham.
Apa itu pembedahan secara Caesarean?
Pembedahan caesarean yang juga dikenali sebagai C-section merupakan pembedahan di mana pakar obstetrik (perbidanan) membuat potongan pada perut dan rahim (uterus) ibu agar bayi boleh dilahirkan.
Pembedahan ini adalah pembedahan besar yang paling biasa di kalangan wanita. Selalunya, doktor akan menerangkan mengapa seseorang memerlukan pembedahan caesarean serta apa yang akan berlaku ketika pembedahan dijalankan.
Ramai wanita ingin melahirkan anak secara normal, namun atas sebab tertentu mereka gagal dan perlu melalui proses pembedahan caesarean
Memang bersalin secara caesarean nampak lebih senang kerana anda tidak perlu untuk melalui proses seperti air ketuban pecah, kontraksi dan sebagainya. Namun, caesarean juga ada 'sakit' yang perlu ditanggung oleh wanita.
Ini merupakan perkara yang mungkin anda tidak tahu tentang proses rumit yang dilalui oleh wanita yang bersalin secara caesarean:
1. Melalui pembedahan major
Pembedahan ceasarean adalah salah satu pembedahan major yang melibatkan organ badan yang penting, berisiko tinggi dan membahayakan nyawa.
Pembedahan ini juga berpotensi untuk mengalami komplikasi serta pendarahan yang banyak.
2. Pengorbanan yang dilakukan oleh wanita untuk menyelamatkan nyawa bayi
Selalunya, anda tidak merancang untuk bersalin secara caesarean, namun jika wanita mengalami komplikasi ketika proses kelahiran dan boleh mengancam nyawa, wanita harus membuat keputusan dengan cepat untuk menyelamatkan nyawa bayi dengan melahirkannya secara pembedahan caesarean.
Pembedahan seharusnya dilakukan dalam tempoh 30 minit ataupun kurang daripada waktu keputusan dibuat, bergantung kepada komplikasi.
3. Harus menerima risiko serta potensi risiko melalui pembedahan caesarean
Doktor akan menerangkan mengapa anda memerlukan pembedahan caesarean serta apa yang akan berlaku semasa pembedahan.
Mereka juga akan menerangkan risiko-risiko jika tidak melakukan pembedahan, begitu juga potensi risiko pembedahan tersebut.
4. Perlu melalui proses menutup pembukaan di bahagian perut
Bagi proses penutupan jahitan di perut pula, doktor akan membuat jahitan berganda untuk memperbaiki uterus wanita. Insisi di dalam perut akan ditutup secara berperingkat.
Akhir sekali, kulit luar akan ditutup dengan jahitan. Apabila sudah bersedia, mereka akan dipindah semula ke bilik wad di mana suami dan bayi sedang menunggu.
5. Suhu badan wanita akan jatuh dan badan mula menggigil
Perkara ini berlaku kerana ubat anestetik yang diberikan untuk mengurangkan kadar kawalan suhu badan. Biasanya bilik pembedahan akan sejuk dan membuatkan wanita berasa gentar.
Namun, ia sama sekali tidak membahayakan dan kebiasaanya akan memakan masa selama setengah jam sahaja. Jururawat atau bidan yang menjaga anda akan memastikan badan anda dipanaskan dengan selimut dan cecair.
6. Perlu menguruskan bayi walaupun masih belum sembuh sepenuhnya
Memang wanita yang bersalin secara pembedahan caesarean ini akan dibius terlebih dahulu untuk mengelakkan kesakitan yang melampau. Namun, rasa sakit itu akan kembali selepas pembedahan berakhir.
Perkara itu tidak menjadi halangan sebagai seorang ibu untuk menguruskan bayinya yang masih perlu menyusu, dibelai serta didukung oleh ibunya sendiri.
Kesimpulannya, hargailah setiap wanita kerana mereka melalui proses yang boleh memberikan risiko kematian walau apa cara kelahiran sekalipun
Sumber: Sirap Limau