Ibu Luah Rasa Kesal Bayinya Sesak Nafas, Demam Panas, & Separa Kritikal Kerana Asap Rokok
Merokok membahayakan kesihatan diri sendiri dan orang lain juga.
Sudah lali menasihatkan golongan perokok agar tidak mendekati anak-anak kecil semasa atau selepas merokok. Namun, masih ada juga yang tidak faham.
Apabila ibu bapa menolak permintaan mereka yang mahu mendukung anak mereka, terus ibu bapa dikatakan sombong atau kedekut. Ibu bapa hanya bimbang jika anak mereka menghidapi penyakit yang merbahaya.
Baru-baru ini, Huda Farid Irfan Ali berkongsi tentang penderitaan anak kecilnya akibat asap rokok di akaun Facebook milik beliau.
"Merokok itu terpulang kepada individu tetapi selepas merokok jangan terus dukung anak kecil," tulis beliau di status akaun Facebook miliknya itu
"Yang menanggung sakit lelah anak-anak kecil tersebut dan yang bersengkang mata siang malam ialah mak ayahnya. Bila mak ayah tak bagi dukung, dikatanya sombong. Bekas asap rokok itu bagi kesan berbahaya, faham tak?" tambah beliau.
"Anak saya dikejarkan ke hospital pada jam 1.30 pagi dan dimasukkan ke bahagian separa kritikal. Diberi oksigen sebanyak dua kali, x-ray dan ambil darah," katanya lagi.
"Doktor sahkan ada virus dan jangkitan kuman akibat asap rokok yang menyebabkan demam panas dan sesak nafas. Jadikan kes ini sebagai pengajaran," katanya.