Jatuh Cinta Dengan Kehidupan Kampung, Mat Salleh Ini Meniaga Pasar Malam Siap Cakap Loghat
Tiba-tiba terasa macam nak balik kampung juga.
Anak muda lebih memilih untuk berhijrah ke kawasan bandar kerana percaya bahawa peluang pekerjaan lebih cerah di sana
Selain itu, tidak dinafikan pengaruh drama yang sering memomokkan kehidupan 'berjaya' di bandar membuatkan ramai mengambil keputusan meninggalkan kampung halaman dengan alasan mahu mencari pekerjaan bagi mengubah nasib keluarga.
Bukannya tiada anak muda yang tinggal di kampung-kampung tetapi bilangannya lebih sedikit.
Namun begitu, di saat ramai memilih untuk tinggal di bandar besar, 'mat salleh' ini pula jatuh cinta dengan kehidupan kampung
Barak Nobert atau nama Islamnya, Adam Abdullah, 36 yang berasal dari Budapest, Hungary, mengakui ingin menjadi anak kampung sebenar walaupun tidak dilahirkan di negara ini.
Dia turut bertemu dengan isterinya, Elsuraya Mohamed, 49 semasa berada di Malaysia dan kini menetap di Bota, Perak.
"Saya jatuh cinta dengan kehidupan kampung dan selain berkebun, kami turut bela ayam di rumah. Saya datang ke Malaysia dan perlu menghormati budaya serta belajar bahasa orang di sini, kalau tidak macam mana nak berbual dengan keluarga mentua dan orang tempatan.
"Saya mengambil masa enam bulan untuk menguasai Bahasa Melayu," katanya kepada Harian Metro.
Dalam pada itu, dia juga boleh menggunakan loghat Bota ketika berbual
"Antara loghat Bota yang saya suka dan akan guna setiap hari seperti maghi (mari), ngecek (menipu), untei-untei (perlahan), sapan (habis) dan kulu kyeor (ke hulu ke hilir).
"Walaupun tak boleh bercakap sepenuhnya dalam loghat Bota tetapi ‘bunyi’ itu tetap ada," jelasnya lagi.
Sementara itu, dia dan isterinya mendapat perhatian ramai semasa meniaga di pasar malam terutamanya apabila dia berbahasa Melayu
"Masa mula-mula berniaga, tak yakin juga mahu berkomunikasi menggunakan Bahasa Melayu. Ramai juga yang melihat pelik dan ada yang terkejut apabila tahu saya orang Eropah kerana menyangka saya daripada Pakistan.
"Pengalaman lucu pula apabila ada pelanggan yang bertanya dalam Bahasa Inggeris terkejut sebaik saya membalasnya dalam Bahasa Melayu dan menyelitkan loghat Bota," kongsinya.
Dia dan isteri meniaga menjual langos iaitu makanan popular negara kelahirannya di pasar malam dan juga cendol serta pulut panggang yang dihasilkan sendiri.
"Sekarang saya juga sudah boleh masak cendol dan selepas dua kali diajar isteri. Tak susah rupanya nak masak cendol, cuma kena kacau selalu kalau tak nanti hangit pula,"katanya lagi.
Wow, respect sangat dengan Adam yang senang menyesuaikan diri dengan kehidupan kampung!