Johan Tilawah Al-Quran Kini Hanya Mampu Meriba Quran Selepas Diserang Penyakit Misteri
Sedihnya.
Seorang kanak-kanak berusia 11 tahun iaitu Muhammad Azwar Mohd Ariff yang sebelum ini merupakan johan tilawah al-Quran peringkat Negeri Kedah kini tidak mampu untuk membaca kitab suci itu lagi akibat diserang penyakit misteri
Menurut laporan, ibunya Che Anisah, 42, berkata bahawa anaknya itu hanya mampu memegang al-Quran selepas penglihatannya semakin kabur sejak dua minggu lalu.
Azwar juga kerap menangis kerana hanya boleh meriba sambil membuka helaian kitab suci tersebut berikutan keadaannya yang semakin lemah.
Azwar juga kerap muntah setelah dibacakan ayat Ruqyah sebagai salah satu usaha merawat penyakit misteri yang ditimpa sejak pulang dari Majlis Tadarus al-Quran Sekolah Peringkat Kebangsaan di Johor, 29 Julai lalu
Menurut ibunya, “Azwar juga hanya mampu berdiri pada rakaat pertama ketika solat, rakaat seterusnya dia akan duduk dan dia juga menghadapi masalah untuk sujud kerana sakit belakang, namun dia tetap tidak tinggalkan solat.
“Minggu lalu saya membawanya ke hospital swasta di Sungai Petani bagi membuat pemeriksaan, tetapi doktor mengesahkan dia sihat.
"Saya juga membawa Azwar menjalani rawatan Islam dan setiap kali ayat al-Quran dibacakan, dia akan muntah dan berasa lega untuk seketika,” katanya.
Azwar juga turut hadir dengan berkerusi roda pada Majlis Sambutan Maal Hijrah yang lalu untuk menjadi salah seorang penerima anugerah yang disampaikan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.
Ibunya turut menjelaskan bahawa Azwar kini tidak mampu lagi untuk ke sekolah kerana keadaannya semakin lemah.
Bukan setakat itu sahaja, kekangan kewangan juga menyukarkan ibunya untuk membawa Azwar untuk mendapatkan rawatan yang dicadangkan
Suaminya pula hanya bekerja sebagai penoreh getah dengan pendapatan yang tidak menentu.
“Saya juga berharap pengamal perubatan di luar sana dapat membantu Azwar agar dia kembali sihat seperti sedia kala untuk terus mempelajari al-Quran dan bercita-cita untuk menjadi johan di peringkat kebangsaan pada tahun depan,” katanya.