seismik

Kajian UKM: 75 Peratus Remaja Malaysia Didapati Pernah Tonton Video & Gambar Lucah

Perbuatan tidak bermoral itu disokong dengan adanya kemudahan WiFi percuma yang boleh diakses di hujung jari.

Cover image via Sinar Islam & Kosmo!

Follow kami di Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Hanya satu klik, segala maklumat di Internet boleh diakses tanpa sempadan hingga tanpa kita sedari kemudahan teknologi itu mendedahkan kita semua termasuk anak-anak kecil kepada gejala negatif seperti pornografi

Menurut laporan, remaja di Malaysia dikesan berisiko untuk terjebak dengan gejala seks bebas dan dijangkiti penyakit kelamin akibat ketagihan pornografi.

Dalam satu kajian akademik yang dijalankan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2021 mendapati, 75 peratus daripada remaja di negara ini dikesan pernah menonton video atau melihat gambar pornografi.

Pensyarah di Jabatan Perubatan Keluarga Fakulti Perubatan UKM, Prof Madya Dr Noor Azimah Muhammad, berkata kebanyakan yang terbabit adalah remaja lelaki dan terjebak ketika seawal persekolahan menengah lagi.

Lebih membimbangkan, beliau berkata, remaja ini dikesan melakukan aktiviti tidak bermoral itu apabila diberi peluang menggunakan internet di rumah secara bersendirian.

"Menonton pornogarafi ini menyebabkan sebahagian daripada remaja kita mengalami ketagihan yang boleh menyebabkan mereka berisiko melakukan seks bebas dan mengalami jangkitan penyakit kelamin seperti human immunodeficiency virus (HIV) dan siflis.

"Ia terjadi apabila tiada pemantauan dari ibu bapa yang terlalu sibuk bekerja dan tiada di rumah,"
katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Gambar sekadar hiasan.

Image via AFP via Utusan Malaysia

Pelajar yang menonton video lucah biasanya akan mengamalkan aktiviti seks bebas sejurus melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi

"Terdapat kes seorang pelajar lelaki mengakui menonton lebih 200 video pornografi sehari semata-mata untuk memuaskan keinginan seksualnya. Seterusnya pelajar ini terdedah kepada masturbasi dan akhirnya mengamalkan aktiviti seks bebas ketika menuntut di kolej," katanya.

Katanya, hampir kesemua remaja ini mengamalkan seks tidak selamat, tanpa kondom atau pencegah kehamilan dan 40 peratus daripada kes HIV baharu adalah membabitkan remaja.

"Ketagihan seksual bermula sejurus aktiviti seksual berlaku. Setelah berasa seronok melakukan aktiviti seksual, mereka ingin melakukannya sekali lagi. Keinginan ini akan berterusan dan berulang-ulang," katanya.

Gambar sekadar hiasan.

Image via Sinar Islam

Jelas Dr Noor Azimah lagi, dalam satu kajian lain yang dijalankan pada 2013 terhadap 988 pelajar kolej, data menunjukkan 10 peratus pelajar kolej pernah melakukan aktiviti seksual manakala lima peratus pula sangat aktif melakukan perbuatan itu.

"Umumnya, aktiviti seksual yang dilakukan oleh remaja adalah berisiko tinggi, dengan mereka cenderung untuk bertukar-tukar pasangan, mengamalkan homoseksual iaitu seks sesama jantina atau biseksual iaitu seks sesama sendiri atau berlainan jantina, tidak menggunakan kondom atau pencegah kehamilan dan di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

"Dapatan yang hampir sama dapat dilihat dalam Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan 2017 iaitu 7.3 peratus remaja berumur 13 hingga 17 tahun pernah melakukan seks seawal usia kurang dari 14 tahun dan lima peratus aktif melakukan seks," katanya.

Penggunaan internet dan media sosial memudahkan lagi remaja untuk mendapatkan video atau gambar pornografi tanpa dapat dikesan oleh ibu bapa

"Perbuatan ini disokong dengan adanya kemudahan wifi sama ada di rumah sendiri atau sesetengah premis yang mana remaja tidak perlu mengeluarkan duit sendiri.

"Hubungan antara media sosial, pornografi dan aktiviti seksual jugabersifat linear. Jiwa remaja yang sentiasa ingin mencuba menyebabkan mereka memilih untuk melakukan amalan terlarang itu," katanya.

Justeru, Dr Noor Azimah berkata, tanggungjawab adalah di bahu ibu bapa yang perlu memainkan peranan utama iaitu menyingkirkan perasaan malu untuk memberikan pendidikan seksual kepada anak mereka di rumah.

"Antara topik yang perlu dijelaskan kepada anak adalah apakah itu seks, seks berisiko, komplikasi seks bebas, jangkitan penyakit kelamin dan kehamilan tanpa di rancang.

"Ibu bapa juga sering menggunakan istilah hubungan kelamin. Namun begitu, remaja mungkin keliru definisi ini dengan istilah seks. Carilah ilmu mengenai perkara itu kerana tiada orang lain yang boleh melakukannya melainkan ibu bapa itu sendiri," katanya.

Gambar sekadar hiasan.

Image via Utusan Malaysia

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik

Baca lagi artikel menarik lain hanya di SAYS Seismik:

You may be interested in: