“Mak, Sini La Kantin” - Guru Sebak Lihat Murid Darjah 1 Pimpin Ibu Bapa Buta Ke Sekolah
Allahu, tisu mana tisu?
Setiap kali memasuki tahun baru, kita akan disajikan dengan cerita hari pertama persekolahan
Saban tahun ada sahaja kisah anak murid darjah satu yang tersepit di kerusilah, di gerigi besi, dan banyak lagi tempat yang tidak dijangka.
Namun begitu, terpancar juga wajah kegembiraan anak-anak ini dalam memulakan sesi persekolahan mereka.
Bagaimanapun, ada juga yang tidak bernasib baik untuk berkongsi wajah kegembiraan itu dengan ibu bapanya
Baru-baru ini, seorang guru dikenali sebagai Nadwa Nasir berkongsi di laman Facebook miliknya mengenai salah seorang anak muridnya yang kedua-dua ibu bapanya tidak boleh melihat.
Setakat artikel ini ditulis, perkongsiannya itu telah mendapat 13 ribu shares.
Baca perkongsian penuh di bawah:
"Sentap hari terakhir 2019, hari ini terima murid Tahun 1, maka bertemulah aku 30 orang anak tahun 1, 2020.
"Jatuh air mata aku melihat seorang anak kecil, memimpin mak ayahnya yang tidak dapat melihat ke orientasi tahun 1. Hari pertama dia sendiri ke sekolah.
"Dia sendiri menulis nombor telefon mak ayah. Walau baru bertatih menulis, walau nombornya terbalik. Kuatnya kamu wahai anak. Berdikarinya kamu pada usia terlalu muda ini.
"Selesai orientasi, dia pimpin mak ayah dia tunjuk kelas dia kat mana, padang kat mana, kantin kat mana. Macamlah mak ayah dia boleh melihat.
'Mak, sini la kantin, mak, ni padang sekolah. Mak dia tanya dia, 'mana pondok mak nak tunggu kamu nanti?'
"Dia jawab, 'sini la mak, kat sini' (padahal depan dia je pondok tu. Tapi si anak terangkan macam nampak-nampak je," tulisnya.
Insiden itu nyata memberikan kesedaran buat guru tersebut
"Teacher doakan kamu berjaya dunia akhirat, kamu yang paling kuat, buat teacher rasa teacher perlu kuat lebih dari kamu bagi menempuhi 2020," tulisnya lagi.
Turut sama terkesan dengan perkongsian itu adalah warganet yang juga mendoakan kanak-kanak tersebut
Allahu, berat mata memandang tapi berat lagi bahu yang memikul. Sikap adik ini memang wajar untuk dicontohi. Syabas dik!
Apa-apapun, selamat menjalani sesi persekolahan untuk tahun 2020. Belajar elok-elok ya.