"Anak Saya Tidak Sawan. Suspek Pernah Tampar & Cucuh Api Rokok" - Ibu Nur Aisyah Aleya
Innalillah.
Semalam, negara digemparkan dengan berita kematian kanak-kanak 3 tahun Nur Aisyah Aleya di Langkawi
Mangsa yang disyaki hilang dari jagaan pengasuhnya di Kuarters Hospital Langkawi, Kedah, hujung bulan lalu, dipercayai sudah meninggal dunia, sejak dua minggu lalu.
Lebih menyedihkan, mayat mangsa dikatakan dibawa seorang suspek lelaki dalam beg pakaian sebelum dibuang ke gaung di Jalan Gunung Raya, Langkawi.
Polis kemudian hanya menemui tengkorak dan sedikit cebisan rambut mangsa di lokasi kejadian
“Tiada bahagian anggota lain ditemukan berkemungkinan dimakan atau dibawa lari binatang buas, atau dipercayai telah mereput. Hasil soal siasat mendapati kanak-kanak itu telah meninggal dunia sejak 16 Februari lepas.
“Mayat lengkap memang tak ada dah, cuma tinggal bahagian kepala sahaja," kata Ketua Polis Daerah Langkawi Suprintendan Mohd Iqbal Ibrahim.
Dalam kejadian menyayat hati terbabit, mangsa dilaporkan mengalami sawan ketika berada bersama suspek dan sejurus itu berlaku pertengkaran antara suspek dan isterinya
“Dalam usaha merawat mangsa, suspek lelaki mendakwa menepuk belakang mangsa beberapa kali sehingga tidak sedarkan diri,” kata Mohd Iqbal.
Panik dengan keadaan itu, suspek lelaki memasukkan mangsa yang dipercayai sudah meninggal dunia ke dalam beg pakaian.
Pasangan itu kemudian melarikan diri ke Lembah Klang sejak Jumaat lalu berdasarkan rekod yang diperoleh daripada syarikat pengangkutan.
Ibu mangsa, Rosmaliah Samo, 31, berkata selama ini anaknya tidak pernah mempunyai penyakit sawan seperti yang didakwa suspek
Rosmaliah juga mendakwa anaknya pernah ditampar beberapa kali di depan matanya malah turut pernah dipukul lelaki itu.
Selain itu, seluruh badan anaknya juga pernah ada kesan lebam dan kesan dicucuh api rokok selain kulitnya melecur seperti disiram air panas.
“Dia seorang yang panas baran dan suka pukul kalau tak ikut cakap dia malah isterinya juga pernah menjadi mangsa dan saya kurang yakin isterinya terbabit bersubahat dalam perkara ini,” katanya.
Terbaru, suami isteri yang disyakit terbabit dalam pembunuhan Nur Aisyah Aleya direman seminggu bermula 7 Mac hingga 14 Mac
Terdahulu, suspek tiba di perkarangan Mahkamah Langkawi kira-kira 9 pagi tadi diiringi anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi sebelum keluar dari kamar mahkamah satu jam 45 minit kemudian.