"Saya Redha, Cuma Ingin Bukti" - 6 Hari Di Taska, Bayi Dikatakan Maut Akibat Tersedak Susu
Bapa kepada arwah bayi tersebut mengatakan bahawa beliau redha dengan apa yang terjadi, namun inginkan bukti sebenar supaya puas hati.
Seorang bayi yang baru berusia empat bulan dikatakan meninggal dipercayai akibat tersedak susu di sebuah Taska di Melaka
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Berita Harian, bapa kepada bayi berkenaan iaitu Zainal Abidin Deraman, 34, berkata ketika anaknya itu dihantar ke Taska itu kira-kira jam 7:30 pagi, dia berada dalam keadaan sihat tanpa apa-apa sakit.
Namun, Zainal berkata beliau bergegas dari tempat kerjanya ke hospital apabila dimaklumkan oleh isterinya mengenai kejadian yang menimpa anaknya.
Beliau dikatakan bertugas sebagai anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, menurut Astro Awani.
Bayi berkenaan iaitu Yusof Al-Baihakki telah dikatakan bertukar kebiruan ketika dimaklumkan oleh guru taska terbabit kira-kira jam 11:45 pagi
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh bapa bayi malang itu, "Menurut pihak taska, selepas anak saya diberi susu dalam pukul 8 lebih, dia tidur lama. Sampai dalam pukul 11 pagi, muka dia nampak biru. Mereka buat CPR sebelum menghantarnya ke hospital.
Tambahnya lagi, "Hari ini baru hari keenam (di taska). Tibanya saya di sini, doktor memberitahu anak dah meninggal."
Zainal juga menyatakan bahawa sebelum ini, anak keduanya itu dijaga selama dua minggu oleh ibu mertuannya selepas isterinya, Roslina Ismail, 34, yang bekerja sebagai seorang guru sebelum kembali memulakan tugas.
Bayi yang diberikan susu yang dibekalkan ibunya pada jam 8.50 pagi itu disahkan meninggal dunia selepas diberikan rawatan menyelamat kira-kira 30 minit, iaitu pada jam 12.30 tengah hari.
Terkilan dengan insiden malang yang menimpa anak bongsunya itu kerana dia dan isteri telah menunggu selama lapan tahun untuk mendapatkan zuriat kedua
Zainal walau bagaimanapun berkata dia redha dan tidak mahu menunding jari pada mana-mana pihak dan menyerahkan segala urusan kepada pihak berkuasa.
"Saya redha, cuma saya nak tahu bukti sebenar supaya puas hati. Saya minta bedah siasat dibuat supaya puas hati. Buat masa ini kita tidak tahu punca kematian.
"Cuma saya sedih, dia meninggal ketika saya tiada. Sebelum ini, memang perkara sebegini yang saya nak elakkan, kan banyak isu… sebab itu saya bagi mak mertua saya jaga dia," kata Zainal Abidin.