KKM Teliti Hukuman Penjara Atau Denda Bagi Individu Tidak Memakai Face Mask Di Tempat Awam
Ha, baik pakai. Kang tak pasal-pasal kena denda.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini sedang meneliti cadangan sama ada akan mengenakan denda sebanyak RM1,000 atau penjara buat individu yang tidak memakai face mask di tempat awam
Menurut laporan, perkara tersebut telah dibincangkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang turut berkata bahawa dua hukuman itu kini sedang dipertimbangkan untuk dilaksanakan sebelum mewajibkan pemakaian pelitup muka tersebut.
Tambahan pula, beliau berkata pengenalan dua hukuman itu termaktub dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Jelas beliau lagi, jika berada di tempat awam, setiap individu harus memakai pelitup muka jika penjarakan sosial sukar dijalankan
"Kementerian Kesihatan sangat menggalakkan pemakaian pelitup muka terutama di kawasan awam. Sekarang kita masih belum mewajibkan.
"Kalau kita wajibkan dalam Akta 342, jadi kita akan pertimbangkan sebab individu itu akan dikenakan denda kalau tak pakai pelitup muka iaitu RM1,000 atau pun boleh dipenjarakan.
"Jadi kita melihat kepada tindakan denda atau pun penjara bagi mereka yang tak pakai pelitup muka. Itu yang kita sedang teliti sebelum kita laksanakan untuk mewajibkan pakai pelitup muka," katanya.
Jadi, jika anda tak ingin dikenakan mana-mana hukuman di atas kerana tidak memakai pelitup muka, baiklah pakai.
Diri sendiri selamat, orang lain pun selamat, bukan?