Kontena Dari Syarikat Israel Diarah Berpatah Balik Selepas Cuba Masuk Negeri Perlis
Pihak agensi kerajaan lain mengesahkan kontena itu adalah dilarang memasuki negara ini.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Selepas kecoh di Johor Sabtu lalu, satu lagi kontena tertera logo ZIM, syarikat perkapalan berpangkalan di Israel dikesan dan kali ini cuba memasuki negara ini melalui laluan darat di Perlis
Ia dikesan telah cuba memasuki negara ini melalui laluan darat di Perlis. Bagaimanapun, lori kontena membawa muatan dagangan ayam sejuk beku yang baharu tiba dari sempadan Malaysia-Thailand itu berjaya dihalang Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), sebelum diarah berpatah balik dengan segera.
Menerusi Berita Harian, Pengarah Kastam Perlis, Ismail Hashim berkata, perkara itu dikesan kira-kira jam 12 tengah hari Ahad, selepas lori kontena terbabit melalui terowong mesin pengimbas di Unit Dagangan Jalan Raya, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQs).
"Semasa proses imbasan imej, pengendali mesin pengimbas mengesan kontena digunakan berasal dari Israel berdasarkan logo ZIM yang tertera pada badan dinding luar kontena itu.
"Oleh itu, lori terbabit ditahan bagi mendapat pengesahan dan pemeriksaan lanjut," katanya.
Semakan bersama pihak agensi kerajaan lain mengesahkan kontena itu adalah dilarang memasuki negara ini kerana dipercayai milik syarikat berpangkalan dari Israel.
"Kita segera mengarahkan lori kontena berisi barang dagangan berkenaan berpatah balik ke negara jiran pada hari sama," katanya.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan siasatan segera dilakukan mengenai dakwaan kewujudan kontena syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, ZIM, di sebuah pelabuhan di Iskandar Puteri di Johor.
Beliau menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat yang mempunyai kaitan secara langsung dengan Israel.
Ia susulan isu dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad, mengenai keresahan orang ramai berhubung kewujudan kontena dari Israel di pelabuhan terbabit.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!