"Mengalah Dulu, Lepas Tu..." - Lelaki Bagi Solusi Mudah Berhadapan Dengan Pembuli Jalan!
Kawal kemarahan itu dan lakukan dua langkah mudah ini!
Masalah road rage atau pembuli jalan raya semakin hari semakin menjadi-jadi
Masalah ini berlaku kerana sikap kita sendiri yang seakan-akan tidak pandai bersabar. Sikap seperti ini sepatutnya tidak ada dalam diri masyarakat yang bertamadun bahkan kita seharusnya menghormati hak di antara satu sama lain kerana jalan raya dikongsi bersama.
Masalah road rage dan buli yang berlaku di atas jalan raya tidak boleh dipandang ringan kerana ia memberi impak serius yang boleh dibawa kepada diri pelaku yang terlibat serta orang sekeliling yang tidak bersalah.
Selain daripada menjadi punca kepada kesesakan lalu lintas, masalah ini juga boleh membawa kepada kemudaratan lain seperti kerosakan harta benda, pergaduhan, tumbuk-menumbuk, dan yang paling teruk sekali, kematian.
Seorang lelaki telah tampil dengan solusi mudah yang wajar diamalkan semua pemandu jalan raya apabila berdepan dengan pembuli jalan raya
Menerusi laman Twitter, Syawal yang sebelum ini pernah beberapa kali berdepan dengan pembuli jalan raya telah berkongsikan cara dia menangani masalah ini dengan mudah, dan ternyata telah membuahkan hasil yang diharapkannya.
Caranya? Mudah sahaja!
Mula-mula, mengalah sahaja dengan pembuli jalan raya ini. Kemudian, buat laporan polis dalam masa 24 jam insiden berlaku. Walau bagaimanapun, penting untuk setiap pemandu memasang kamera atau dashcam pada kenderaan masing-masing demi memudahkan laporan polis dilakukan.
Betul juga, bergaduh sesama pemandu di tengah-tengah jalan raya ini sememangnya mendatangkan lebih kemudaratan daripada kebaikan
Lebih teruk lagi sekiranya terdapat anak kecil yang akan memerhatikan gelagat bapanya bergaduh di tengah-tengah jalan lalu mengakibatkan kesesakan lalu lintas. Ibu bapa kan perlu menjadi contoh yang terbaik buat anak-anak, tidak kira dalam situasi apa pun.
Dengan singgah ke balai polis bukan sahaja mudah bahkan mampu mengelakkan pelbagai perkara yang tidak elok daripada berlaku. Buat sahaja laporan polis dan tunjukkan bukti yang terdapat dalam dashcam kepada pihak berkuasa. Dashcam pun boleh dibeli dengan harga mampu milik.
Sekiranya laporan itu sah, maka polis akan bertindak sama ada mengeluarkan saman ataupun mengenakan apa-apa tindakan yang sewajarnya. Syawal sendiri berasa puas hati dengan tindakan yang dikenakan kepada pesalah susulan laporan-laporan yang dibuatnya itu.
Ekoran tularnya tweet itu juga, ramai yang bersetuju dengan cadangan yang diusul oleh Syawal. Bahkan ramai yang meninggalkan komen tanda setuju selain menanyakan beberapa soalan kepada Syawal perihal cadangannya itu untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas.
Di bawah adalah antara komen serta soalan dari para netizen:
Semoga informasi ini memberi manfaat buat semua terutamanya pengguna jalan raya.
Pandu dengan cermat, dan jangan gaduh-gaduh, ya!