Menggigil Tiba Di Mahkamah, Suspek Bunuh Remaja Perempuan Kini Direman 7 Hari
Keterangan yang diberi suspek berhubung kejadian juga didapati sangat mencurigakan.
Seorang pelajar Tingkatan Enam direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes pembunuhan bekas rakan sekolahnya
Menurut sumber, perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda di Mahkamah Majistret Marang, Terengganu.
Suspek yang tiba di perkarangan mahkamah kira-kira jam 10 pagi ini, terdahulu ditahan selepas memberi keterangan di Balai Polis Telemong, Hulu Terengganu, kira-kira jam 7.30 pagi Ahad.
Tindakan diambil pihak polis susulan keterangan yang diberikannya berhubung kejadian didapati sangat mencurigakan.
Suspek kelihatan menggigil sebaik sahaja dibawa turun dari kenderaan polis sebelum dibawa masuk ke dalam mahkamah
Pada Ahad lalu, Siti Nur Surya Ismail, 19 tahun, dipercayai dibunuh di Kampung Lubok Batu, Telemong, Hulu Terengganu.
Mangsa ditemui dengan beberapa kesan tikaman, dipercayai akibat senjata tajam, di beberapa bahagian badan, termasuk putus pergelangan tangan kiri.
Polis percaya penahanan suspek yang bersekolah bersama mangsa dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima itu sekali gus membongkar motif kejadian pembunuhan kejam itu.
Perintah reman ke atas suspek bermula hari ini dan berakhir pada 9 November 2020
Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Hasil siasatan awal polis juga mendapati, suspek mengaku melakukan perbuatan itu yang berpunca dari kata mengata sehingga berlaku salah faham sebelum berlaku pergelutan.
Suspek juga dilaporkan turut melarikan sejumlah wang ratusan ringgit, barang kosmetik, dua buah beg dan dua telefon bimbit milik mangsa.