Mulai Jun 2020, Pegawai JPJ Tidak Lagi Duduk Sebelah Calon Ujian Memandu
JPJ akan melaksanakan sistem baru yang dipanggil e-Testing.
Bersoraklah, wahai calon-calon ujian memandu akan datang!
Bagi sesiapa yang pernah melalui fasa ujian memandu sambil diperhati oleh seorang pegawai JPJ yang betul-betul berada di tempat duduk sebelah, itu merupakan salah satu detik yang paling mendebarkan dalam hidup. Tiada siapa boleh nafikan!
Kalau kena pegawai JPJ yang chill dan boleh bawa bincang, maka bernasib baiklah pemandu itu. Tapi kebanyakan pegawai JPJ memang tegas dan tiada kompromi dalam hal meluluskan ujian memandu.
Mulai Jun 2020, semua itu tiada lagi
Memetik laporan Astro Awani, JPJ akan melaksanakan sistem latihan dan ujian memandu automatik (e-Testing) di institut memandu seluruh negara mulai Jun depan
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata pengukuran prestasi calon ujian memandu akan dijalankan secara elektronik (automasi) dan keputusan ujian memandu akan dijana secara berkomputer melalui sistem tersebut.
"Apabila dilaksanakan sistem ini, tiada lagi pegawai JPJ di dalam kenderaan bersama calon," katanya.
Tapi, jangan ingat tiada mata yang memerhati
Menurutnya lagi, pegawai JPJ tetap akan memerhati para calon serta memberi arahan kepada mereka, cuma ia dilakukan dari bilik kawalan.
"Ia bukan sahaja memudahkan calon tetapi yang penting tiada lagi urusan antara calon dan pegawai JPJ di dalam kenderaan itu sekali gus meningkatkan integriti jabatan," katanya.
Tiga institut memandu di Johor telah dipilih sebagai projek rintis dan sistem ini akan diperluas ke seluruh negara pada Jun tahun ini.