seismik

Kena Gelak Sebab Beli Tanah Di Kampung, Wanita Jelas ‘Future Plans’ Yang Buat Ramai Kagum!

Kehidupan di kampung sememangnya lebih tenang daripada di bandar.

Cover image via Twitter @SueKz93

Buat yang sudah masuk ke alam pekerjaan, akan sampai satu tahap dalam hidup di mana anda akan mula memikirkan tentang pelan persaraan anda

Ramai di antara anak muda kini sedang bertungkus lumus bekerja demi mencari dan mengumpul harta untuk kesenangan pada hari tua kelak.

Pasti ramai juga di antara anak-anak muda yang sedang memilih untuk membeli rumah ikut kemampuan mereka untuk settle down di bandar pilihan masing-masing.

Berbeza dengan seorang wanita ini yang memilih untuk membeli tanah di kawasan kampung untuk pelan persaraannya

Bekerja sebagai Pegawai Pemuliharaan Hidupan Liar, Sue pernah ditertawakan oleh orang ramai ekoran perancangannya itu.

Manakan tidak, ramai anak muda masa kini yang lebih memilih untuk membeli rumah di tengah-tengah kota metropolitan yang dilihat boleh dijadikan aset, harta, serta pelaburan untuk masa hadapan lebih-lebih lagi kerana harga rumah yang jarang sekali akan jatuh.

Namun begitu Sue tetap bertegas dengan keputusannya itu kerana dia merasakan bahawa duit bukanlah segala-galanya. Dia juga tidak mahu terlalu bergantung dengan wang yang mana nilainya tidak kekal dan sentiasa ada pasang surut serta naik turunnya.

Dengan menetap di kampung, Sue merancang untuk menanam dan membesarkan sendiri sumber semula jadi seperti mana yang pernah dilakukan oleh nenek moyang kita dahulu. Dengan menetap di kampung juga, dia tidak perlu risau sekiranya masalah kegawatan ekonomi serta masalah kenaikan harga barang menimpa negara.

Mempunyai sumber semula jadi sendiri bermakna dia tidak perlu lagi berbelanja besar demi keterusan hidup. Semuanya boleh didapati sama ada secara semula jadi atau pun buatan sendiri.

Bukan itu sahaja, menetap di kampung juga bermakna anak-anak boleh melakukan aktiviti-aktiviti 'kampung' seperti memanjat pokok, melompat di atas lopak air, mandi sungai, dan banyak lagi, yang mana sukar dilakukan di bandar.

Menurut Sue, mempunyai harta dalam bentuk sumber semula jadi tidak begitu merisaukan kerana sekiranya dicuri, ianya masih boleh ditanam dan diternak kembali, berbeza dengan harta berbentuk wang ringgit.

Sue bagaimanapun tidaklah menolak tentang kepentingan wang itu yang mana ianya masih diperlukan untuk membuat hidup lebih mudah dan senang.

Akan tetapi dia juga merasakan bahawa sumber semula jadi yang dimilikinya juga boleh jana pendapatan menerusi hasil jualan produk perniagaan.

Sue berpendapat bahawa ramai di antara kita yang tidak berupaya melihat kepentingan sumber semula jadi. Ramai anak muda masa kini memilih untuk meninggalkan kampung demi hidup di bandar yang bukan sahaja hiruk pikuk bahkan kosnya juga jauh lebih tinggi.

Tambah Sue lagi, dengan mengasah kemahiran hidup di kampung seperti mana yang dilakukan nenek moyang kita dahulu, kita bukan sahaja boleh membuat makanan, pakaian kita sendiri tetapi kemahiran ini juga boleh dijadikan sumber pendapatan.

Terutamanya dalam dunia yang semakin sengit dari hari ke hari. Nilai matawang juga dilihat semakin menurun akan tetapi sumber semula jadi akan sentiasa menjadi keperluan dan keutamaan untuk keterusan hidup. 

Disebabkan itulah, Sue langsung tidak mempunyai keraguan dalam memilih untuk menetap di kampung. Meskipun ada yang memandang rendah bahkan ada juga yang merasakan dia 'gila', namun dia tetap dengan keputusannya yang dilihat lebih jimat, lebih sihat, dan lebih stabil.

Dalam perkongsiannya, Sue memaklumkan bahawa dia sangat memandang tinggi pada anak-anak muda yang memilih untuk menjadi petani dan penternak kerana mereka menyedari tentang kepentingan sumber semula jadi ini.

Sue juga menyarankan agar mereka yang masih tidak mempunyai pekerjaan lagi menjadikan dan melihat sumber asli ini sebagai satu peluang untuk mereka usahakan.

Ternyata ramai warganet yang kagum serta teruja dengan perancangan masa depan Sue ini

Ada warganet yang turut berkongsikan rancangan mereka yang mirip Sue, bahkan ada juga yang mula menanyakan soalan kerana terinspirasi dengan caranya itu.

Boleh baca dengan lebih lanjut di ruangan reply di rangkaian tweet Sue di bawah:

Mesti tenang hidup kalau duduk di kampung, kan?

Bukan macam duduk di bandar, setiap hari sakit kepala kena hadap traffic jam.

Image via Brand Synario

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Lagi artikel di SAYS Seismik:

You may be interested in: