"18 Bulan Je?" - Ramai Berang Pengasuh Bunuh Bayi Dengan Cili Hanya Terima Hukuman Ringan
Tertuduh telah memasukkan sebiji cili hijau ke dalam mulut mangsa untuk menghentikan rengekannya.
Seorang pengasuh yang bertindak memasukkan cili ke dalam mulut seorang bayi lelaki berusia dua tahun sehingga menyebabkan kematiannya Jun lalu, dihukum penjara 18 bulan oleh Mahkamah Tinggi Seremban
Menurut Utusan, Hakim Datuk Abu Bakar Jais menjatuhkan hukuman tersebut selepas pengasuh terbabit, Asmarani Ghazali, 39, mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 31(5)(b) Akta Kanak-kanak 2001.
Tertuduh didakwa menganiaya bayi 2 tahun, Muhammad Afif Kamarol Azli dengan memasukkan sebiji cili berwarna hijau ke dalam mulut mangsa sehingga menyebabkan kematian mangsa di sebuah rumah di Jalan TTJ 3/1B, Taman Tuanku Jaafar, Sungai Gadut di antara pukul 9.30 pagi dan pukul 10 pagi, 13 Jun lalu.
Bagaimanapun, pihak pendakwa memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lebih berat antara 10 tahun hingga 15 tahun terhadap Asmarani kerana menyifatkan kesalahan dilakukannya amat serius selain hukuman tersebut sebagai pengajaran kepada masyarakat yang ingin melakukan perbuatan sama.
Pertuduhan pilihan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin mengikut seksyen tersebut yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, peguam, Datuk Hanif Hassan yang mewakili tertuduh memohon hukuman yang ringan atas alasan anak guamnya telah menjaga mangsa sejak berusia lima bulan dan sepanjang tempoh penjagaan sebelumnya, tiada masalah berlaku antara tertuduh, mangsa dan keluarga mangsa.
“Saya juga memohon hukuman ke atas tertuduh diringankan kerana ini merupakan kesalahan pertama dan tertuduh tiada sebarang rekod jenayah dan dia telah menyesal dengan apa yang berlaku serta berjanji tidak akan mengulangi sebarang kesalahan yang melanggar undang-undang,” kata Datuk Hanif.
Kejadian memasukkan cili hijau ke dalam mulut mangsa sehingga mati tercekik, berlaku dua hari sebelum hari Raya Aidilfitri, seperti yang dilaporkan The Star
Mangsa, Muhammad Afif Kamarol Azli, jatuh sakit pada pagi Jun 13 dan tidak berhenti merengek walaupun dipujuk oleh tertuduh yang kemudiannya bertindak memasukkan sebiji cili hijau ke dalam mulut mangsa untuk menghentikan rengekannya.
Menyedari mangsa menghadapi masalah bernafas, tertuduh telah membawa mangsa ke klinik sambil ditemani suami dan salah seorang dari anaknya. Mereka dinasihatkan untuk membawa mangsa ke hospital Tuanku Ja’far, tetapi bayi tersebut meninggal dunia sebaik sahaja dimasukkan ke hospital.
“Kegembiraan kami dihancurkan serta-merta oleh individu ini (pengasuh). Anak saya mati kerana dia didera dan bukan kerana dia (pengasuh) cuai. Suami saya sering memberitahu saya yang beliau mahukan pengasuh lain, tapi saya membuat keputusan untuk meneruskannya dengan tertuduh," kata Rahmawati, ibu kepada mangsa.