PLKN 3.0: Uniform Biru Diganti Dengan Celoreng Tentera, Pelatih Wajib Hadir Jika Dipanggil
Pelatih perlu memberikan alasan munasabah jika mahu menangguhkan sesi latihan.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Individu yang dipanggil menjalani Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 diwajibkan hadir kecuali mempunyai alasan munasabah jika terdapat halangan
Menurut laporan Buletin TV3, kewajipan termasuk mereka yang bekerja perlu mendapatkan pelepasan majikan dan majikan pula harus memberikan justifikasi jika tidak melepaskan.
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Mejar Jeneral Datuk Ya’cob Samiran berkata, kepatuhan pelatih dan majikan perlu kerana pelaksanaan program berkenaan terikat di bawah Akta Latihan Khidmat Negara 2003 (Akta 628).
"Jadi kalau sekiranya majikan tidak membenarkan itu mungkin proses lain yang kita laksanakan. Siri satu adalah penyertaan secara sukarela, untuk siri kedua dan seterusnya adalah mengikut kerahan bersyarat maknanya apabila seseorang itu dipanggil untuk menjalani latihan PLKN, mereka perlu hadir.
"Sekiranya mereka berhalangan ataupun mempunyai masalah tertentu, mereka perlu memohon untuk membuat penangguhan dan sebagainya. Ini termasuk mereka yang sedang bekerja, mereka juga perlu mendapat kebenaran daripada majikan mereka. Jika majikan mereka tidak beri pelepasan kepada bakal pelatih, majikan perlu beri justifikasi mengapa tidak memberi kebenaran," katanya.
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Mejar Jeneral Datuk Ya’cob Samiran
Image via Buletin TV3Manakala, uniform biru PLKN akan diganti dengan pakaian celoreng tentera dan akan diwarisi peserta siri selanjutnya
Mengulas lanjut berkenaan pemakaian uniform celoreng tentera oleh pelatih PLKN, Datuk Ya’cob berkata, pemakaiannya diamalkan di kebanyakan negara yang melaksanakan program seumpamanya.
"Pakaian yang telah diuji spesifikasinya, kajiannya dan penilaiannya telah lengkap. Kalau kita gunakan pakaian lain dari tentera darat ini kita perlu lalui proses yang lama dan kosnya lebih mahal. Uniform yang ini kosnya lebih murah dan dah ada dalam sistem.
"Selepas tamat latihan, ia akan dikembalikan semula supaya dapat digunakan pelatih seterusnya," katanya lagi.