Elak Pemandu Tertidur & Kemalangan Dari Berlaku, PLUS Rancang Bina 'Kapsul Tidur' Di R&R!
Kemudahan kapsul tidur ini masih pada peringkat kajian serta projek rintis dan dijangka akan direalisasikan pada tahun hadapan
Berita baik buat anda yang kerap memandu pulang ke kampung halaman!
Ini kerana Plus Malaysia Berhad (PLUS) bercadang membina 'time capsule' atau kapsul tidur bagi pengguna Lebuhraya Utara-Selatan untuk berehat dan melepaskan penat.
Mereka yang kerap memandu pulang ke kampung halaman ataupun pemandu kenderaan berat boleh menggunakan kemudahan ini yang masih pada peringkat kajian serta projek rintis dan dijangka akan direalisasikan pada tahun hadapan.
Langkah ini diharap dapat mengurangkan keletihan dalam kalangan pemandu, sekali gus mengurangkan kadar kemalangan akibat mengantuk dan kepenatan
Pengarah Urusan PLUS, Azman Ismail berkata, "Kita sentiasa melihat kepada kemahuan pengguna. Kapsul tidur yang juga dipanggil ‘time capsule’ ini akan memberi peluang kepada pemandu terutamanya pemandu kenderaan berat untuk mereka ambil ‘quick nap’ pada waktu malam sebelum mereka meneruskan pemanduan."
“Ini antara penambahbaikan fasiliti sedang dikaji dan kita berharap langkah ini nanti dapat mengurangkan keletihan dalam kalangan pemandu kenderaan berat dan mereka boleh memandu dalam keadaan segar... sekali gus dapat mengurangkan kadar kemalangan akibat mengantuk dan kepenatan,” katanya seperti yang dilaporkan MalaysiaKini.
Sebelum ini PLUS pernah membuka hotel di sepanjang lebuh raya tetapi terpaksa menutupnya kerana tidak mendapat sambutan
"Kami dapati pemandu mahukan tempat tidur hanya untuk ‘quick nap’ dan tidak memerlukan hotel seharian. Maka kita akan lihat maklum balas pengguna terhadap projek rintis itu nanti dan kalau sambutannya baik, kita akan perluaskan di R&R bersesuaian,” ujar Azman.
Kapsul tidur tersebut akan dibina di kawasan rehat dan rawat (R&R) memandangkan ia mempunyai kawasan parkir kenderaan berat yang luas, selain menyediakan pelbagai fasiliti lain termasuk tandas yang lengkap dengan bilik mandi.