seismik

Qari Perak & Qariah Selangor Dinobat Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2022

Bawa pulang hadiah wang tunai RM15,000, selain piala iringan dan tambahan wang tunai RM10,000 bagi menunaikan haji.

Cover image via Bernama

Follow kami di Telegram, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita dan artikel-artikel menarik di SAYS Seismik.

Qari Perak, Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan dan qariah Selangor, Sofizah Mousin muncul johan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran peringkat Kebangsaan (MTHQK) bagi tahun 1443H/2022M

Aiman Ridhwan mengumpul 89.34 peratus markah manakala Sofizah mendapat markah 85 peratus.

Johan membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000,piala iringan dan tambahan wang tunai RM10,000 bagi menunaikan haji.

Kejayaan itu sekali gus melayakkan mereka mewakili Malaysia bagi menyertai Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), Kuala Lumpur, pada 17 hingga 22 Oktober depan.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim yang memulakan tugas sebagai Pemangku Raja berkenan mencemar duli merasmikan penutup MTHQK Tahun 1443H/2022M dan menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Turut hadir isteri baginda,Che Puan Khaleeda Bustamam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad dan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Menerusi laporan Berita RTM, Aiman Ridhwan, 24 tahun berkata, ini merupakan pencapaian terbaiknya selepas aktif sejak berusia 18 tahun.

Manakala bagi Sofizah, 33 tahun, ini merupakan percubaannya yang ketiga.

"Perasaan saya macam tadi ada sangat gembira dan terharu, tak tahu nak cakap macam mana memang tak sangka. Orang kata rezeki Allah tu memang betul, memang saya tidak sangka, tapi saya memang sudah buat yang terbaik jadi berserah pada Allah. Jadi ini memang rezeki Allah nak bagi," kata Aiman Ridhwan.

Sofizah pula berkata sebagai seorang guru, masa untuk beliau berlatih adalah terhad. "Jadi ada masa kelapangan, setiap hari saya akan buat latihan di dalam kereta, semasa saya memandu saya akan buat latihan suara setiap hari," katanya.

Aiman Ridhwan (tengah) menerima ciuman kegembiraan daripada ibu Umi Kalsum Sukri (kiri) dan bapa Mohamad Ramlan (kanan).

Image via Bernama

Sofiyah Mousin (kanan) bergambar bersama suaminya Ahmad Asrol Saidi (kiri), 36, serta anaknya Orked Nur Mikayla ( kiri), 4, dan Iris Nur Marissa (kanan), 1.

Image via Bernama

Tempat kedua Tilawah al-Quran pula dimenangi qari dari Pulau Pinang, Muhammad Umar Syazuli Mohd Tahir (89 peratus) dan qariah dari Melaka, Sarrul-Munirah Haris (84.33 peratus).

Mereka membawa pulang RM10,000 dan tambahan wang tunai RM10,000 untuk menunaikan haji, cenderamata dan sijil penyertaan.

Tempat ketiga dimenangi qari dari Melaka, Azraie Abdul Hak (86.67 peratus) dan qariah dari Perak, Nurul Syafiqah Nardi (82.34 peratus), yang membawa pulang RM7,500, tambahan wang tunai RM10,000 untuk menunaikan haji, cenderamata dan sijil penyertaan.

Johan keseluruhan Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran dimenangi negeri Johor

Sementara itu, hafiz dari Kelantan, Abdullah Ulwan Ismail diumumkan Johan Hafazan bagi kategori 1 hingga 30 juzuk beserta tafsir apabila memperoleh 97.25 peratus markah, manakala hafizah dari Johor Nurjahidah Hadirah Alliar@Ilyas dinobatkan sebagai johan dengan markah 94.51 peratus.

Mereka masing-masing membawa pulang wang tunai sebanyak RM15,000; tambahan wang tunai RM10,000 untuk menunaikan haji dan piala iringan.

Bagi kategori 1 hingga 20 juzuk, hafiz dari Johor, Ahmad Ikmal Mohd. Ridhuan meraih johan (98.16 peratus), manakala hafizah dimenangi Nurul Husna Abdul Aziz dari Kedah dengan markah 96.96 peratus.

Bagi kategori 1 hingga 10 juzuk beserta tarannum, dimenangi hafiz, Muhammad Jibril Mohd. Hanafiah dari Pahang (98.30 peratus), manakala hafizah dimenangi Fatimah Azzahra Mohd. Shahrol dari Johor dengan markah keseluruhan 97.05 peratus.

Tahniah buat kepada para pemenang Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran peringkat Kebangsaan bagi tahun ini!

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik

Baca lagi artikel menarik lain hanya di SAYS Seismik:

You may be interested in: