“Ramadan Tiba” - Ini 7 Checklist Persiapan Diri Yang Anda Perlu Lakukan Agar Puasa Berkah
Tak sabar nak sambut Ramadan.
Follow kami di Telegram, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita dan artikel-artikel menarik di SAYS Seismik.
Tinggal beberapa hari saja sebelum kita menyambut bulan mulia iaitu bulan Ramadan
Pasti ramai yang tidak sabar menantikannya bukan? Tambahan lagi bila fikir bazaar Ramadan yang menjual pelbagai jenis makanan.
Namun, bukan itu saja yang perlu kita fikirkan. Kita juga perlu mempersiapkan diri sebelum menyambut bulan mulia ini, barulah puasa lebih berkah dan banyak manfaatnya.
Jadi, jom kita lihat antara checklist persiapan diri yang perlu anda lakukan di bawah:
1. Bertaubat
Setiap manusia tidak pernah lari dari melakukan kesilapan. Namun, kesalahan itulah yang menjadikan diri kita lebih baik daripada sebelumnya.
Jadi, sebelum memasuki bulan Ramadan, adalah lebih bagus jika anda bertaubat dengan segala dosa yang anda lakukan sekarang supaya puasa anda lebih berkat. Malah, hati juga Insyaallah akan menjadi lebih tenang.
2. Perbaiki solat
Jika sebelum ini kita sering meninggalkan solat, apa kata mulai daripada hari ini kita cuba ubah perkara itu dan cuba untuk mencukupkan waktu solat lima kali sehari.
Solat adalah salah satu perkara penting dan wajib dilakukan oleh semua umat Islam, walaupun anda rasa sukar pada awalnya tapi percayalah jika sekali anda tinggal solat, anda akan merasa seperti ibadat anda tidak lengkap. Cuba sebaik mungkin.
3. Melakukan ibadah tambahan
Selain daripada memperbaiki solat, anda juga boleh mengisi masa lapang anda dengan membaca Al-Quran, puasa sunat dan berzikir.
Nescaya, perkara tersebut akan membuatkan anda menjadi insan yang lebih baik pada masa akan datang. Cuba lakukan antara salah satu terlebih dahulu.
4. Kurangkan mencarut
Perkataan mencarut sememangnya tidak elok untuk diri kita dan orang lain. Ia boleh menyakitkan hati seseorang dengan perkataan tersebut. Jika kita sering menggunakan perkataan tersebut apa kata kita cuba untuk mengurangkan dan tidak bercakap tentangnya.
Lama-kelamaan anda pasti akan biasa dan tidak akan bercakapnya lagi. Tambahan lagi dalam bulan puasa kerana ia boleh mengurangkan pahala kita.
5. Elak pembaziran
Bulan Ramadan akan membuat kita lebih cenderung untuk membeli makanan lebih banyak kerana kita akan merasa ada saja tidak cukup. Berbeza dengan hari-hari biasa, nafsu bulan Ramadan memang tidak dinafikan makin membuak-buak.
Lebih-lebih jika singgah ke bazaar Ramadan, ada saja makanan yang hendak dibeli. Tapi, akhirnya banyak yang tidak habis. Oleh itu, kita perlu didik diri kita agar tidak membazir dalam membeli makanan.
6. Tidur mengikut waktu
Ramai orang sekarang yang menjadi 'burung hantu' pada waktu malam dan apabila tiba waktu pagi badan merasa lesu kerana tidak cukup tidur.
Menjelang Ramadan nanti adalah lebih baik kita perbaiki waktu tidur kita kerana kita memerlukan tenaga yang cukup untuk menghadapi ketika berpuasa nanti. Tidurlah pada waktu yang tepat dan elakkan daripada tidur terlalu lambat.
7. Tetapkan niat anda
Ramadan adalah peluang baik untuk anda lebih mendekati kepada Allah SWT. Pada bulan ini ramai yang berebut-rebut mahu melakukan kebaikan. Kita sendiri perlu menetapkan niat yang betul pada bulan tersebut contohnya berusaha menjadi umat Islam lebih baik.
Tetapkanlah hati anda dan lakukan apa yang anda inginkan. Nescaya, Allah SWT akan permudahkan segala urusan anda untuk mencapai matlamat tersebut.
Yang penting niat betul dan ada usaha untuk berubah. Selamat menyambut bulan Ramadan kepada semua umat Islam :)