Semua Sekolah Bakal Ditutup Mulai Esok, Peperiksaan SPM & STPM Pula Dipinda Ke Tahun 2021
Persekolahan secara bersemuka di sekolah bakal dibuka semula mulai 20 Januari 2021.
Semua sekolah termasuk Kolej Vokasional di seluruh negara akan ditutup bermula esok, 9 November 2020 sehingga hari akhir persekolahan pada tahun ini
Menurut sumber, Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Radzi Jidin berkata, bagi sekolah Kumpulan A, sesi persekolahan akan ditutup sehingga 17 Disember dan 18 Disember bagi negeri Kumpulan B.
Katanya, langkah itu diambil bagi membantu kerajaan memutuskan rantaian Covid-19 di negara ini.
"Penggal persekolahan bagi tahun 2021, akan bermula pada 20 Januari dan murid sekolah rendah akan memulakan sesi pembelajaran pada tarikh itu.
"Manakala bagi sekolah menengah dan Kolej Vokasional juga akan memulakan pengajian pada tarikh yang sama," katanya.
Sementara itu, tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bakal dipinda ke 22 Februari 2021
Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pula akan bermula pada 8 Mac 2021.
Menurut Dr Radzi, pindaan tarikh itu melibatkan keseluruhan seramai 524,718 pelajar membabitkan 400,445 calon SPM, 92,964 (STPM), 23,313 (SVM) dan 7,996 (STAM).
"Mengambil kira situasi semasa, KPM telah membuat keputusan untuk meminda tarikh peperiksaan tersebut.
"Perincian tentang semua peperiksaan awam ini akan dimaklumkan dalam masa yang terdekat," katanya.
Sesi pengajaran dan pembelajaran sepanjang penutupan sekolah akan dilaksanakan secara home based learning
Bagi murid yang tinggal di asrama pula, ibu bapa atau penjaga perlu mengambil mereka untuk pulang ke rumah masing-masing.
Menurutnya lagi, murid boleh terus kekal berada di asrama sementara menunggu untuk diambil oleh ibu bapa atau penjaga dan berada di bawah pengawasan warden asrama dengan keperluan makan dan minum murid sepanjang tempoh itu akan disediakan pihak sekolah.