Semua Sekolah & Taska Di Batu Pahat Diperintah Tutup Serta-Merta Susulan Jerebu Makin Teruk
Difahamkan, sebarang keputusan berkaitan pembukaan semula sekolah adalah tertakluk kepada perkembangan kualiti udara.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Semua sekolah, taman didikan kanak-kanak (tadika) dan taman asuhan kanak-kanak (taska) di seluruh daerah Batu Pahat diarahkan tutup bermula hari ini
Menerusi laporan Bernama, perkara itu diputuskan susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) telah melebihi paras 200 iaitu pada tahap sangat tidak sihat di kawasan berkenaan.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Batu Pahat dalam kenyataan memaklumkan bacaan IPU di daerah berkenaan telah mencatat angka 203 setakat 8 malam semalam.
Kenyataan itu memaklumkan penutupan berkenaan dibuat selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan serta garis panduan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid serta warga sekolah sentiasa terpelihara.

Sekolah perlu laksana PdPR sekiranya diarah badan-badan kerajaan terlibat
"Pihak sekolah hendaklah melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sekiranya diarahkan oleh KPM, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat, tertakluk kepada arahan dan garis panduan yang berkuat kuasa.
"Pihak sekolah juga perlu memaklumkan kaedah pelaksanaan PdPR, tugasan murid serta saluran komunikasi kepada ibu bapa atau penjaga melalui saluran rasmi sekolah," menurut kenyataan itu.
Menurut JPBD Batu Pahat, sebarang keputusan berkaitan pembukaan semula sekolah adalah tertakluk kepada perkembangan kualiti udara dari semasa ke semasa dan arahan rasmi pihak berkuasa.
Orang awam turut dinasihatkan supaya sentiasa mendapatkan maklumat sahih menerusi saluran rasmi Jabatan Alam Sekitar, KPM, JPNJ, PPD Batu Pahat dan Pejabat Daerah Batu Pahat serta mengelak daripada menyebarkan maklumat yang belum disahkan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via