seismik

“Setiap Malam Mimpi Perut Diusap Dan Diurut” - Ibu Ini Kongsi Diganggu Jin Ummu Sibyan

Ummu Sibyan dikatakan dapat mengikat rahim wanita serta membunuh bayi yang masih dalam kandungan.

Cover image via Google

Mungkin ada di kalangan kita yang pernah dengar nama Ummu Sibyan sebelum ini

Image via Radar Cirebon

Ummu Sibyan adalah jin dari kaum perempuan yang suka mengganggu bayi dan anak kecil yang berusia kurang dari 2 tahun serta wanita hamil, oleh yang demikian, disarankan agar anak-anak yang baru lahir ini diazankan terlebih dahulu supaya bayi itu tidak diikuti oleh jin tersebut.

Ummu Sibyan juga dikatakan dapat mengikat rahim wanita serta membunuh bayi yang masih dalam kandungan. Pada masa yang sama, jin ini mampu masuk ke dalam rahim orang perempuan dan mengikat rahimnya serta menyumbat dengan tujuan agar kaum wanita itu tidak mengandung.

Di samping itu, diceritakan juga bahawa jin ini akan masuk ke dalam perut wanita yang sedang hamil, di mana pada waktu janin di dalam kandungannya sedang tumbuh, jin ini akan menendangnya menyebabkan berlakulah keguguran dan jadilah rahimnya kosong semula.

Image via Sehinggit Media

Seorang pengguna Facebook, Mcyah Joanjett telah berkongsikan pengalaman peribadinya diganggu jin Ummu Sibyan semasa mengandungkan cahaya mata sulung dan cahaya mata keduanya. Insiden yang benar-benar memberi kesan kepadanya itu dikongsikan agar dapat dijadikan teladan buat semua di luar sana lebih-lebih lagi buat wanita yang sedang mengandung.

Baca perkongsian penuh di bawah:

15 bulan berdamping dengan jin Ummu Sibyan

Hari ini saya terbaca post yang viral berkenaan jin Ummu Sibyan. Ingin saya kongsikan kisah benar yang terjadi pada diri sendiri agar kita boleh jadikan iktibar.

Sejak awal kandungan saya sering berlaku kejadian pelik-pelik tapi ia lebih ketara sejak saya mula berpindah ke kuartes sewaktu usia kandungan 7 bulan.

Image via Tribun Jogja

Saya menginap seorang diri kerana suami bekerja di Kuala Lumpur. Kuartes saya paling atas. Tingkat ke-4 tanpa lift. Tingkat 1 dan 2 sahaja ada penguni. Tingkat 3 kosong dan saya dapat tingkat 4. Saya memelihara 2 ekor anak kucing untuk teman saya kerana di rumah itu terasa sunyi gemersik. Setiap malam angin bersiul seperti seruling dan kucing-kucing akan mengiau tanpa henti. Saya rasa seram sejuk tapi apakan daya hanya sendirian.

Boleh dikatakan setiap malam saya mimpi perut diusap dan diurut. Terkadang saya mimpi perkara sama 4 kali berturut-turut pada satu malam. Sering juga saya mimpi seekor langsuir (berbaju putih berambut panjang) bertenggek di jendela tempat tidur. Dia tak buat apa-apa hanya memandang saya tidur. Saya juga mimpi ramai bayi datang merangkak ke arah saya minta disusukan tetapi bayi-bayi ini punya gigi tajam-tajam seperti ikan. Mimpi ini berulang sehingga kandungan saya masuk 8 bulan.

Image via Komunal Box

Pernah kawan saya Rohayu Yusof tumpang bermalam, keesokan harinya dia bergegas pulang dan saya jumpa dia 2 hari selepas itu. Katanya pulang dari rumah saya kaki dia sakit dan lebam. Bila berubat, ustaz kata diganggu polong. Saya fikir itu mainan iblis. Kemudian kawan saya yang lain pula Cik Yuyu datang bermalam temankan saya. Keesokannya dia demam. Saya kerumahnya, ibu dia beritahu pulang dari rumah saya, dia demam panas dan bercakap merapu seperti tidak sedar. Setelah berubat ustaz mengatakan diganggu polong.

Allahu. Saya terdiam kerana 2 sahabat berlaku perkara yang sama pada hari berlainan

Image via Google

Saya sungguh tak sedap hati. Saya beritahu suami suruh datang kesini. Saya minta dia carikan rumah sewa. Alasan saya kerana sudah tidak larat nak naik tangga. Saya dah sarat. Akhirnya saya dapat rumah sewa baru di kawasan perumahan. Ada jiran keliling jadi saya tidak rasa sunyi.

Waktu di rumah baru, saya tertidur di depan TV. Kemudian suami datang kejutkan saya untuk masuk tidur kedalam bilik, saya lihat muka suami senyum sambil usap kepala saya. Bila saya bangun, saya lihat suami juga tidur depan TV sebelah saya. Cepat-cepat saya kejutkan suami. Saya tanya dia, ada kejutkan saya ke tadi? Katanya tidak. Dia pun tertidur. Saya dah mula rasa lain. Tapi saya pelik. Kan saya dah pindah rumah. Takkan masih ada gangguan.

Sehinggalah saya dah sampai bulan untuk melahirkan. Ari-ari saya sakit, berjalan pun sudah terkangkang. Ada lendir-lendir keluar. Bila ke klinik katanya jalan belum terbuka. Baru 1 cm. Saya pulang. Mak bawa saya ke rumah bidan. Bidan urut. Kata bidan, saya seperti nak beranak sangat dah ni tapi kenapa jalan tak nak terbuka. Bidan suruh saya cari orang yang boleh buatkan air tawar.

Image via Google

Kemudian suami bawa saya berjumpa neneknya kerana nenek dia boleh berubat orang juga. Selepas minum air tawar saya menangis. Terasa sedih dan lemah semangat. Nenek beritahu, saya sedih kerana akan berpisah dengan JIN UMMU SIBYAN. Jin ini dah lama berdamping dengan saya. Tugas Ummu Sibyan adalah menghalang wanita dari mengandung, jika sudah mengandung tugasnya untuk menggugurkan kandungan. Jika kandungan selamat sehingga ke bulan terakhir, tugasnya adalah melemaskan anak itu. Jika anak berjaya dilahirkan, tugasnya untuk mematikan anak itu dengan sawan. Allahuakhbar tersentap saya.

Jadi sekarang ini ummu sibyan menghalang saya dari melahirkan. Dia tutup jalan. InsyaAllah setelah minum air tawar ini, semuanya dipermudahkan. Saya pulang kerumah jam 11 malam. Pukul 3 pagi air ketuban pecah dan alhamdulillah 9 pagi keluarlah cahaya mata sulung kami. Bersyukur sangat kerana jin Ummu Sibyan tewas dalam menghancurkan kandungan saya.

Saya fikir semuanya sudah selesai, tapi tidak

Setelah anak saya berumur 3 bulan. Saya mengandung kali kedua. Suami saya kembali bekerja di Kuala Lumpur. Jadi saya tinggal bersama anak yang berusia 3 bulan dan kandungan berusia 1 bulan. Anak saya tidak boleh tinggal sendirian. Dia akan menangis melalak seperti ketakutan. Kalau nak berak pun saya terpaksa bawa dia sekali ke tandas. Kalau tak, dia menangis sehingga matanya naik keatas dan badannya melengkung.

Image via Mommies Daily

Keadaan ini berterusan sehingga umurnya 6 bulan. Ia menjadi parah apabila dia menangis setiap kali senja pukul 6.30 petang sehingga 8 malam. Dan tangisan itu akan bermula semula waktu dinihari pukul 4 - 5 pagi. Sehingga pada suatu hari dia demam panas dan menangis mata naik keatas dan badan melengkung seperti sawan. Sewaktu itu usia kandungan kedua saya 4 bulan. Saya bawa anak saya balik ke kampung drive kereta seorang diri pukul 10 malam. Saya sampai di kampung jam 1 pagi.

Saya tak boleh lagi duduk dirumah sewa itu. Saya diselubungi rasa takut. Kemudian saya naik bas dan ke KL untuk berjumpa suami. Sesungguhnya Allah tahu bebanan saya. Semasa di rumah sewa suami di KL, di waktu Maghrib anak saya sekali lagi menangis tanpa henti lebih kurang 2 jam diiringi keadaannya seperti nak sawan. Kemudian kawan suami saya bawa kami ke rumah ustaz di Damansara Damai.

Ustaz itu beritahu, ini angkara JIN UMMU SIBYAN. Allahu sekali lagi saya terkejut mendengar nama jin ini buat kali kedua

Image via Google

Kemudian saya cerita semuanya kepada ustaz tu sejak saya mengandung anak pertama. Ustaz itu beritahu, Ummu Sibyan ini dah lama benar berdamping dengan saya. Lari lah kemana pun tidak akan senang kerana bukan rumah itu puncanya tetapi jin ini berada bersama saya. JIN UMMU SIBYAN ini benar-benar inginkan anak pertama saya sejak dia tahu benih itu tersemai. Dan sehingga anak saya berusia 6 bulan Ummu Sibyan masih berdamping.

Saya menangis ketakutan. Sejak kejadian itu, suami saya berhenti kerja dan pulang ke kampung tinggal bersama saya. Sungguh perit memikul bebanan ini seorang diri. Sehingga sekarang anak saya sudah 3 orang alhamdulillah tiada lagi gangguan JIN UMMU SIBYAN. Tetapi saya selalu beringat kerana jin dan iblis itu sentiasa mencari ruang. Wallahualam.

Terima kasih.

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Lagi kisah seram di SAYS Seismik:

You may be interested in: