"Jangan Kita Rendahkan Golongan Pemberatur KFC Yang Miskin & Ingin Merasa Sekali-Sekala"
Hak masing-masing.
Semalam, 20 Februari 2020, restoran makanan segera kegemaran ramai iaitu KFC telah membuat promosi dengan menawarkan dua Snack Plate pada harga RM20 sahaja
Ekoran daripada promosi 'kaw-kaw' yang dibuat restoran makanan segera itu, ramai dalam kalangan rakyat Malaysia sanggup beratur panjang dan menunggu untuk tempoh masa yang lama bagi mendapatkan tawaran yang disediakan.
Bahkan, situasi luar biasa itu juga turut dapat dilihat di kesemua restoran KFC semalam apabila pengunjung yang datang adalah terlalu ramai sehingga ada yang beratur hingga ke luar pintu restoran.
Melihat kepada situasi itu, ada sesetengah pihak seolah-olah mempertikai kesanggupan individu untuk beratur dalam tempoh masa yang lama semata-mata bagi mendapatkan tawaran tersebut dengan menganggap ia sebagai tidak berbaloi dan membuang masa.
Justeru, seorang pengguna Facebook telah memuat naik sebuah posting bagi 'menyedarkan' semula kelompok yang tidak senang dengan kesanggupan individu untuk mendapatkan tawaran tersebut
Menerusi perkongsian yang dibuat pengguna Facebook bernama Ibnu Rijal, dia berkata masyarakat tidak sepatutnya mempunyai persepsi buruk terhadap individu yang rela mengorbankan masa dan tenaganya bagi mendapatkan promosi tersebut.
Sejak artikel ini ditulis, ia telah mendapat hampir 1.5 ribu tanda suka dengan lebih 300 shares.
Untuk perkongsian penuh, boleh teruskan membaca di bawah:
Hari ini di KFC
Di sana ada mereka yang punya anak-anak yang begitu inginkan KFC, anaknya ramai, tak mampu dibahagiakan semua. Maka datang promosi ini, ia rela walau berjam lamanya perlu beratur. Untuk anak anak.
Takkanlah kerana mereka berpusu hari ini untuk dapatkan KFC, kita membandingkan mereka dengan tidak pula berpusu ke masjid. Kita kenalkah setiap seorang yang beratur itu.
Saya lebih hormati mereka yang beratur mendapatkan KFC murah dari mereka yang berasak mendapatkan tudung mahal. KFC barangkali untuk bahagiakan anak-anak. Tetapi tudung mahal barangkali kepuasan sendiri. Pun begitu, saya tidak pernah merendahkan golongan ini. Dia minat, tak apalah dia nak beli. Cuma disamakan dua situasi ini, amatlah tidak tepat.
Ketiganya, saya melihat di jalanan tadi tiga empat cawangan KFC dipenuhi drive-thru nya dengan kereta-kereta mewah dan orang-orang kaya yang turut berpusu. Entah mengapa saya tidak gemar dengan situasi itu.
Alangkah indahnya hidup ini sekiranya kali ini yang kaya dan mampu ke KFC setiap minggu, beri laluan sebentar kepada golongan kurang mampu, yang mungkin jumpa KFC setahun sekali. Jika kita sendiri pun berpusu, jika stok habis, alangkah sedihnya bila keluarga miskin tadi tak sempat mendapatkan ayam yang mereka idamkan, Sedang anak anak menanti di rumah.
Jangan kita merendahkan golongan pemberatur KFC yang miskin yang ingin merasa sekali sekala. Tapi kalau nak kecam juga, kecamlah si kaya yang turut berebut, sedang KFC dalam peti ais rumahnya pun belum habis dimakan.
Perkongsian dibuat individu ini telah mendapat reaksi positif daripada pengikut yang rata-ratanya bersetuju dengan pandangan tersebut