Sempena Bulan Kemerdekaan, Teater OlaBola Akan Jelajah Ke 4 Negeri & Masuk Adalah Percuma!
Diberi nama Ola Bola Merdeka Tour, jelajah ini akan singgah ke empat buat negeri iaitu Pulau Pinang, Pahang, Sarawak dan Sabah.
Demi menyemarakkan lagi semangat patriotik, teater OlaBola The Musical sekali lagi akan membuka tirai persembahannya sempena sambutan Hari Kebangsaan bermula 31 Ogos ini
Sebelum ini, OlaBola The Musical telah dipentaskan sebanyak dua musim di Istana Budaya. Pementasan pertama pada Mac 2018 dan yang kedua pada Februari lalu.
Menurut penerbit dan pengarah, Tiara Jacquelina berkata, "Kami menerima maklum balas menyatakan ramai peminat terkilan kerana tidak berpeluang untuk menyaksikan teater ini disebabkan mereka tinggal di luar Kuala Lumpur.
"Bagi yang tak dapat menonton, ia sama ada mereka kurang berkemampuan untuk datang ke ibu kota kerana lokasi diadakan terlalu jauh, tidak berkesempatan atau pelbagai kekangan lain."
Diberi nama Ola Bola Merdeka Tour, jelajah ini akan singgah ke empat buat negeri iaitu Pulau Pinang, Pahang, Sarawak dan Sabah
Menariknya, kemasukan adalah PERCUMA!
Teater terbitan Enfiniti (M) Sdn Bhd dijangka akan memulakan jelajah di Majestic Theatre, Pulau Pinang pada 31 Ogos, Stadium Perpaduan Kuching, Sarawak pada 6 - 8 September, Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian, Kota Kinabalu, Sabah pada 11 September serta melabuhkan tirainya di Auditorium Darul Makmur, RTM Pahang di Kuantan pada 21 September.
Tiara berkata pengunjung di Kuching dijangka dapat menonton persembahan penuh manakala di Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan Kuantan pula, Ola Bola Merdeka Tour akan dipentaskan dalam bentuk showcase iaitu selama sejam.
“Untuk versi showcase, ia dibuat versi tema Ola Bola I Cover You yang banyak memfokuskan pada perjalanan jatuh bangun Harimau Malaya.
“Persembahan penuh pula akan berlangsung selama 2 jam setengah, sama seperti di Istana Budaya,” katanya lagi.
Pementasan OlaBola Merdeka Tour akan mengekalkan barisan pelakon asal teater tersebut seperti Altimet, Nabila Huda, Iedil Putra, Brian Chan, Tony Eusoff, Luqman Hafidz dan ramai lagi.
Bagi yang berminat untuk menyaksikan OlaBola Merdeka Tour ini, pas masuk percuma boleh didapati di setiap lokasi pilihan pada tarikh pementasan masing-masing.
Untuk maklumat lanjut, boleh lawati www.olabolamusical.com atau Facebook Enfiniti, dan akaun Instagram Enfiniti.
OlaBola The Musical merupakan adaptasi filem OlaBola yang pernah mencetuskan fenomena pada industri perfileman tahun 2016 yang lalu
Ia mengisahkan perjuangan “Tauke” Chow Kwok Keong, kapten pasukan bola sepak Harimau Malaya yang bertekad untuk memimpin pasukannya mara ke Sukan Olimpik, serta sahabat baiknya, Rahman, yang bercita-cita tinggi untuk menjadi pengulas sukan.