TNB Bakal Umum Penurunan Kadar Tarif Elektrik Bagi Tahun 2021
Walau bagaimanapun, keputusan ini bergantung kepada Suruhanjaya Tenaga (ST) yang bakal membuat penilaian lebih terperinci.
Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjangkakan akan berlaku penurunan kecil kadar tarif elektrik bagi tahun 2021
Penurunan ini adalah berikutan penyusutan kos pengeluaran arang batu dan gas semasa.
Walau bagaimanapun, menurut laporan, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menegaskan keputusan itu bergantung kepada Suruhanjaya Tenaga (ST) yang akan membuat penilaian lebih terperinci sebelum mencadangkan perkara itu kepada Kabinet.
ST dijangka mengumumkan tarif baharu pada penghujung tahun ini bagi tempoh Januari sehingga Jun tahun 2021 selepas mendapat persetujuan Kabinet.
Datuk Seri Amir Hamzah turut berkata harga arang batu pada masa ini adalah sekitar RM43 satu tan berbanding RM65 satu tan pada tahu lepas.
Ia sekaligus memberi sedikit penjimatan.
Selain itu, beliau menegaskan penilaian kadar tarif itu akan turut berdasarkan pergerakan dan anggaran harga arang batu dan gas bagi tempoh sehingga penghujung tahun ini.
"TNB adalah di bawah pengawasan ST dan ini berdasarkan skim kawal selia berasaskan insentif (IBR). Segala perbezaan di antara harga arang batu dan gas akan diletakkan di bawah Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE). Oleh itu terpulang kepada Kementerian (Tenaga dan Sumber Asli) serta ST (bagi memutuskannya).
"Jika kita lihat, apa yang dibuat oleh kerajaan dalam Mac sehingga hujung tahun ini adalah menggunakan sebahagian wang daripada KWIE bagi tujuan diskaun (untuk pengguna ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan," katanya.