TNB Cadang Naikkan 14% Tarif Elektrik Tahun Depan, Anwar Bangkang Tak Mahu Bebankan Rakyat
Menurut TNB, jadual tarif baru bagi Semenanjung Malaysia dicadang bakal dilaksana mulai 1 Julai, 2025.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Tenaga Nasional Berhad (TNB) bercadang mahu menaikkan tarif elektrik bagi Semenanjung Malaysia pada tahun hadapan
Menurut laporan Bernama, jadual tarif baru dengan tarif asas 45.62 sen sekilowatt-jam (KwJ) bagi Semenanjung Malaysia di bawah Tempoh Kawal Selia 4 (RP4) dicadang dilaksanakan mulai 1 Julai, 2025.
Di bawah Tempoh Kawal Selia 3 (RP3) antara 2022 dan 2024, tarif asas ditetapkan pada 39.95 sen/kWj.
TNB berkata, sebarang perbezaan dari Januari hingga Jun 2025 akan dibiayai melalui Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE).
"Jadual tarif elektrik semasa yang dilaksanakan sejak 2014 akan terus berkuat kuasa tanpa perubahan dalam kadar tarif dan struktur tarif elektrik sehingga 30 Jun 2025.
"Sebarang kos penjanaan tambahan hasil daripada harga bahan api yang lebih tinggi untuk bekalan elektrik akan dilepaskan melalui mekanisme Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT).
"TNB kekal neutral dalam hal ini dan tidak akan ada kesan ke atas operasi perniagaan atau kedudukan kewangan syarikat," katanya.
Walau bagaimanapun, cadangan itu dibangkang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI)
Menurut laporan Malaysia Gazette, kerajaan tidak akan membenarkan kenaikan tarif elektrik yang akan membebankan rakyat.
DSAI berkata, sebarang kenaikan tarif elektrik tidak boleh menjejaskan majoriti rakyat dan peningkatan kos kepada mereka.
"Kita tidak membenarkan kenaikan elektrik yang menjejaskan orang ramai. Kenaikan sebagaimana yang dahulu itu hanya melibatkan golongan atasan yang saya sebut sebagai maha kaya ataupun industri yang mencatatkan keuntungan.
"Rakyat terbanyak tidak terkesan dari kenikan tarif elekrik walaupun kita faham kos meningkat tapi walaupun kos meningkat dia tidak boleh menjejaskan majoriti rakyat.
"Jadi ini dari segi dasar saya faham keperluan naik tapi kenaikan tidak boleh melibatkan kedudukan kos kepada majoriti rakyat," katanya.
Susulan itu, beliau meminta TNB buat penjelasan secara terperinci ke atas cadangan yang dikemukakan
"Tadi saya sudah hubungi Datuk Seri Fadhilah, menteri yang bertanggungjawab untuk minta Tenaga Nasional Berhad memberikan penjelasan. Secara terperincinya TNB dan Datuk Seri Fadhilah akan menjelaskan," tambahnya lagi.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!