Kantoi Bawa Teman Lelaki Masuk Rumah, Adik Nekad Kelar Leher Abang & Bungkus Dalam Plastik
Kejadian tersebut berlaku selepas terjadinya pergaduhan di antara mangsa dan kedua-dua suspek yang terbabit.
Pada Ahad, 7 Julai 2019, telah berlakunya kejadian ngeri di mana seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun dikatakan bersubahat membunuh abang kandung sendiri bersama teman lelaki
Mangsa yang berusia 16 tahun dikatakan telah dikelar dan kepalanya turut diserkup oleh adik perempuan,14, dan teman lelakinya, 15 di rumahnya. Malah, menurut laporan, mayat mangsa ditemui di belakang rumah jirannya di Taman Greenview, Kamunting, Taiping, Perak dalam keadaan tubuh yang dibalut dengan plastik.
Mayat mangsa ditemui pada jam 12:18pm oleh pihak berkuasa selepas laporan polis dibuat oleh kakaknya kerana risau adik lelakinya itu masih belum pulang ke rumah.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat, berkata bahawa pihak mereka menerima laporan kehilangan mangsa pada hari Jumaat, 5 Julai yang lalu
Osman turut menjelaskan bahawa, “Pemeriksaan dijalankan polis di lokasi kejadian mendapati terdapat kesan kelar di leher serta pergelangan tangan manakala mayatnya dibalut dengan plastik, mayat disahkan keluarga sebagai remaja yang dilaporkan hilang itu.
“Hasil siasatan, polis menahan adik perempuan mangsa serta teman lelakinya berusia 15 tahun dan kedua-dua mereka mengaku membunuh mangsa,” katanya.
Motif pembunuhan dipercayai berpunca daripada pergaduhan yang berlaku di antara mangsa dengan teman lelaki adik perempuannya
Punca pergaduhan diantara mangsa dan kedua-dua suspek terjadi setelah suspek iaitu teman lelaki adik perempuan mangsa tertinggal telefon bimbit di rumah mereka.
Ianya bermula setelah mangsa pulang ke rumah pada hari kejadian dan dipercayai telah menangkap adik perempuannya itu membawa masuk rakan ke dalam rumah termasuklah teman lelakinya.
Bukan setakat itu sahaja, setelah telefon bimbit itu tertinggal, suspek turut mencuba menghubungi telefon tersebut dan mangsa menjawab lalu mencabar suspek untuk datang sendiri mengambil telefon bimbit tersebut. Setelah itu pergaduhan diantara kedua-dua suspek dan mangsa berlaku sehingga menyebabkan kematian mangsa yang dibunuh oleh suspek.
"Mengikut keterangan kedua-dua suspek, mereka dipercayai mengelar leher mangsa dan kedua-dua pergelangan tangan mangsa dengan pisau sebelum menyerkup kepala mangsa dengan plastik untuk membunuhnya."
Pihak berkuasa turut menemui pisau yang digunakan suspek manakala mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk dibedah siasat
Kes turut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.