Hilang Kerja Akibat Covid-19, Suami Isteri Ini Terpaksa 'Menginap' 4 Bulan Dalam Kereta
Covid-19 bukan saja menyebabkan ekonomi terjejas, malah juga pendapatan seharian.
Pandemik Covid-19 yang melanda dunia hari ini telah banyak memberi kesan besar kepada negara terutamanya kepada sektor ekonomi dan juga masyarakat
Apa yang lebih menyedihkan, ada sesetengah syarikat terpaksa ditutup kerana pendapatan mereka yang terjejas akibat Covid-19. Ada juga yang terpaksa diberhentikan kerja oleh syarikat sendiri.
Situasi ini juga turut dihadapi oleh pasangan suami isteri yang terpaksa tinggal di dalam sebuah kereta sejak empat bulan lalu kerana hilang pekerjaan akibat Covid-19.
Pasangan suami isteri yang dikenali sebagai J Rajakumari dan suaminya P Sivagamyselvan yang berusia 45 tahun dan berbangsa India itu terpaksa tinggal di dalam kereta kerana tiada tempat untuk berteduh.
Mereka tidak mempunyai cahaya mata tetapi sebelum itu mereka pernah bekerja sebagai pencuci kereta di Johor Bahru selama lapan tahun dan akhirnya terpaksa pulang ke kampung halaman sejak Julai lalu.
Terpaksa makan dan mandi di stesen minyak kerana tidak mampu sewa hotel dan rumah
Menerusi sumber, Rajakumari berkata dia dan suami terpaksa menjadikan kereta Proton Iswara milik mereka untuk berteduh dan tidur disebabkan keadaan rumah mendiang bapanya yang rosak teruk dan tidak boleh diduduki lagi.
"Kami berdua makan dan mandi di sebuah stesen minyak di Bandar Baru Kampar kerana tidak mampu menyewa rumah atau hotel.
"Kami memang tidak selesa dan susah hati kerana tinggal dalam kereta, tambah pula keadaan kesihatan saya tidak berapa baik," katanya.
Bersyukur terima bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pejabat ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri)
Nasib pasangan suami isteri itu mendapat perhatian ADUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi menerusi program Jiwa Murni yang dijayakan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak dan MIC Bahagian Kampar.
Dalam pada itu, Rajakumari berkata mereka bersyukur kerana mendapat bantuan daripada ramai pihak yang sudi membantu mereka.Tambahnya, pihak bomba turut membantu membina semula rumah peninggalan mendiang bapanya.
"Saya sangat gembira dan terima kasih kepada pihak yang membantu," katanya.