“Anak Tolak Makan, Nak Susu Je” - Ini 5 Kesan Bahaya Untuk Mereka Di Kemudian Hari
Ibu bapa kena take note.
Apabila sudah masuk ke fasa makan, pastinya anak kita akan mula menunjukkan pelbagai ragam mereka betul tak?
Bukan senang untuk memastikan anak menghabiskan makanan di depan mata mereka. Iyalah, selama ini mereka hanya minum susu saja. Jadi, sudah tentu agak sukar untuk mereka menerima tekstur baru di dalam mulut.
Walaupun mereka mengelak untuk makan, ibu bapa tidak seharusnya merasakan itu tidak memberikan kesan di kemudian hari dan hanya memberikan susu saja.
Sebenarnya, terdapat beberapa kesan bahaya untuk anak jika mereka terlalu bergantung kepada susu dan tidak mahu makan langsung.
Jom kami kongsikan antara 5 bahaya jika anak hanya minum susu tanpa mengambil makanan lain di bawah:
1. Lewat perkembangan
Menurut pendapat pakar menerusi BabyCentre, antara cara untuk menguatkan otot rahang bayi adalah dengan mengunyah. Otot ini bukan saja membantu mereka untuk makan dengan baik, tetapi bayi juga akan menggunakan otot ini untuk cepat bercakap.
2. Tak cukup nutrisi
Ibu bapa perlu tahu, susu sebenarnya bukanlah pengganti nutrisi bagi apa pun jenis makanan. Keperluan seimbang ini perlu datang daripada pelbagai makanan. Malah, portal HealthyEating ada merungkai bahawa salah satu risiko anak kecil yang terlalu banyak minum susu adalah kekurangan zat besi.
3. Lebihan kalori
Walaupun ramai berpendapat susu mengandungi kandungan protein, kalsium, magnesium, folat, dan vitamin, ia juga akan menambah kalori dalam badan. Ia boleh menyebabkan risiko lain yang mungkin akan menjejaskan kesihatan dalam jangka masa panjang. Antaranya termasuklah obesiti, penyakit jantung, dan kencing manis.
4. Bayi susah makan & cenderung menjadi picky eater
Apabila anak sudah banyak minum susu dalam sehari, mereka akan sentiasa berasa kenyang dan menolak untuk makan. Malah, bayi yang asyik minum susu akan menolak solid food dan hanya inginkan makanan cair saja. Perkara itu menyebabkan bayi mula menjadi picky eater. Jadi, ibu bapa perlu memberikan kuantiti susu mengikut usia bayi. Boleh rujuk di sini.
5. Kerosakan gigi
Seperti yang kita tahu, susu formula mengandungi kandungan gula yang agak tinggi. Menurut HealthyChildren.org , ia boleh menyebabkan gigi bayi mudah rosak. Gula yang terkandung dalam susu akan berubah menjadi asid oleh bakteria di dalam mulut si kecil. Asid itulah yang akan menjadikan gigi cepat reput dan rosak.
Berdasarkan 5 kesan di atas, ibu bapa mungkin boleh membuat jadual pemakanan anak dan hidangkan mereka dengan pelbagai jenis tekstur untuk menarik minat si kecil makan :)
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!