seismik

Cantiknya Mawar Rashid & 8 Artis Ini Pilih Untuk Berhijab Pada Tahun 2020. Alhamdulillah!

Semoga dengan penghijrahan mereka ini dapat membuka pintu hati selebriti dan wanita lain untuk turut sama menutup aurat.

Cover image via

Sangat beruntung jika seseorang itu terbuka hati untuk berhijrah dan berubah menjadi lebih baik

Hijrah bermaksud kembali ke jalan benar atau berpindah kepada yang lebih baik. Kalau nak tengok masa kini, orang selalu melabelkan penghijrahan itu untuk perempuan yang mula berhijab. Memang betul itu berhijrah tapi penghijrahan merangkumi banyak sangat aspek bukan hanya dari segi pemakaian sahaja tetapi juga dari sudut percakapan serta perbuatan.

Meskipun begitu, pada tahun ini sahaja, beberapa artis wanita telah memilih untuk berhijrah ke arah penampilan yang lebih baik iaitu dengan mula mengenakan tudung.

Di bawah adalah senarai selebriti wanita yang kini sudah mula bertudung:

1. Mawar Rashid

Mawar atau nama sebenarnya Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid memutuskan untuk bertudung pada 17 Ogos yang lalu selepas hasrat itu terbantut sekian lama.

Menerusi satu entri di Instagram, Mawar berkata keputusan yang dibuat pada tahun baharu kalendar Islam itu, cukup simbolik dan bermakna.

"Hendak dijadikan cerita, Allah lorongkan saya menyertai kelas agama. Setiap bulan saya pulang ke Kelantan untuk menimba ilmu agama. Saya belajar dengan salah seorang guru di sana.

"Sekembalinya ke Kuala Lumpur pada 17 Ogos lalu, tanpa berfikir panjang, saya mencapai tudung dan memakainya. Alhamdulillah, pada sambutan Maal Hijrah (Khamis lalu), saya berniat betul-betul untuk terus istiqamah bertudung," katanya kepada BH Online.

2. Cik Manggis (De Fam)

Penyanyi dari kumpulan De Fam, Cik Manggis, mula berhijab semenjak bulan Jun yang lalu.

Cik Manggis, atau nama sebenarnya Nurshazwani Shamsuddin, bagaimanapun berkata dia lebih selesa untuk tidak menceritakan penghijrahannya.

"Saya memilih tampil bertudung sekarang di atas kerelaan diri sendiri dan bukan untuk tarik perhatian umum. Apa yang menyebabkan saya bertudung biarlah ia jadi rahsia. Tidak perlulah dikongsikan kepada umum," katanya kepada Harian Metro.

Cik Manggis juga mengaku mendorong diri sendiri untuk berhijrah sebagai proses memperbaiki dirinya menjadi lebih baik dalam pelbagai aspek.

Cik Manggis yang juga salah seorang daripada trio wanita, De Fam memberitahu, identiti dirinya dalam kumpulan itu masih sama biarpun sudah bertudung.

"Penghijrahan saya tidak memberi kesan buruk pada kerjaya atau De Fam, melainkan kebaikan. Kami tidak fikir ini menggugat perjalanan De Fam. Azira dan Sophia sangat gembira atas penghijrahan saya," katanya lagi.

3. Kilafairy

Pada bulan Syawal yang lalu, tular video reaksi Kilafairy mengalirkan air mata gara-gara tersentuh ketika memberitahu dirinya sudah berhijab kepada bapa.

Menerusi laman BH Online, Kilafairy berkata, penghijrahannya itu seiring dengan impiannya yang mahu berubah menjadi lebih baik di samping memperbaiki dirinya.

"Saya percaya niat yang baik akan dipermudahkan. Hati saya terbuka mahu mengenakan hijab. Saya membulatkan tekad tanpa tekanan mahupun paksaan sesiapa," ujarnya.

Tambahnya lagi, keputusan untuk berhijab juga seiring dengan peningkatan usia dan kematangan dirinya. Kilafairy juga menyatakan bahawa dia percaya dalam hidup tidak boleh terus berada di takuk lama malah perlu ada penghijrahan.

"Semoga penghijrahan ini mendapat keberkatan. Apa yang lebih diharapkan saya kekal istiqamah," tambahnya lagi.

4. Ernie Zakri

Penangan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diadakan bagi membanteras virus Covid-19 pada bulan Mac yang lalu, penyanyi, Ernie Zakri, memutuskan untuk menutup aurat.

“Ikutkan, saya sudah lama menyimpan niat mahu berhijab. Cuma, kekuatan melakukan perubahan makin mencengkam diri selepas kita diuji dengan musibah penularan wabak Covid-19,” katanya kepada BH Online.

Ernie atau nama sebenarnya, Nur Ernie Shahirah Zakrie berkata, dia pernah berjanji dalam diri, tahun 2020 menjadi titik penghijrahan buatnya.

“Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan dan tersusun cantik. Pada saat saya berehat daripada kerja seni akibat situasi penularan wabak COVID-19, Allah SWT memakbulkan doa yang tersimpan dalam hati," ujarnya lagi

Ternyata Ernie kini gembira dan berasa lengkap setiap kali mengenakan tudung. Tambahnya lagi, penghijrahan ini tidak akan mengubah dirinya, malah dia akan meneruskan kerjayanya sebagai penyanyi.

5. Zila Bakarin

Pelakon, Zila Bakarin mendedahkan telah berhijrah dan berhijab Februari lalu.

Memetik laporan daripada Harian Metro, Zila berkata pada mulanya timbul rasa bimbang sekiranya keputusan untuk bertudung akan memberi kesan kepada karier lakonannya. Namun, setelah membuka matanya, dia mula reda dan percaya pada rezeki Allah SWT.

Menerusi laman Murai pula, Zila berkata dia memilih untuk berhijab tanpa bertanya pendapat orang sekeliling dan mengakui keinginannya berhijab datang dari diri sendiri.

“Semasa nak keluar ambik anak dari sekolah, saya rasa macam tiada seurat benang kat badan sedangkan saya pakai sweater dan jeans. Saya pergi kat kereta dan tiba-tiba rasa sejuk. Saya ulang alik keluar rumah pun rasa yang sama. Sampailah kali ketiga saya masuk rumah, dan terus terdetik untuk pergi ke laci dan ambik selendang dan terus pakai. Bila keluar rumah terus rasa aku dah selamat”- ujarnya.

6. Dahlia Shazwan

Pengacara, Dahlia Shazwan, telah menarik perhatian ramai apabila mula mengenakan gaya tudung pada bulan Mac yang lalu.

Dahlia yang juga lebih dikenali sebagai Gadis Trivago itu mengakui keputusan untuk berhijab datang kerana dia merasakan inilah petunjuk yang diberikan oleh Allah SWT setelah pulang dari mengerjakan umrah.

Katanya, “Saya dah balik umrah ingatkan nak berhijab masa bulan Ramadan tapi macam tak nak tangguh takut tak sempat. Saya beritahu diri saya, nak tingkatkan secara rohani dulu barulah berhijab tapi makin hari rasa macam Tuhan tengah tunggu untuk saya bergerak."

“Hati saya macam rasa berhutang, rasa macam dah dijentik. Tapi kalau saya biarkan sahaja benda tu, takut lepas ni tak dapat petunjuk tu. Jadi, saya pun pakai hijab,” ujar Dahlia ketika kepada portal Gempak.

7. Sharifah Shahirah

Mirip Ernie Zakri, pelakon, pengacara dan penyampai radio popular, Sharifah Shahirah, juga berkongsikan sudah mengenakan tudung sejak hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sharifah Shahirah yang lebih mesra disapa Shiera itu berkata, niat bertudung timbul apabila menyedari wabak Covid-19 yang melanda negara dan seluruh dunia adalah dugaan Allah SWT.

Katanya, “Ditambah pula apabila PKP dilaksanakan. Pada mulanya saya bernazar, jika wabak ini ada penawar saya nak pakai tudung. Terlalu banyak dugaan Allah berikan sekarang.Tapi, saya fikir semula kalau tak ada penawar, takkan saya tak pakai tudung. Jadi, saya bulatkan hati dan berniat untuk terus pakai."

“Lagipun, sebelum PKP saya memang pakai ‘on-off’ dan suka-suka saja. Sekarang, saya sudah pakai dengan betul. Tapi, saya tidak boleh terus menjadi sempurna. Saya masih dalam proses belajar dan memperbaiki diri,” ujarnya lagi kepada Harian Metro.

8. Tya Arifin

Mula tampil berhijab semenjak Februari lalu, selebriti dan usahawan, Tya Arifin berkata perancangan untuk berhijrah hadir tanpa dirancang dan tiada sebarang persiapan.

Tya yang juga merupakan menantu kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza itu berkata pada mulanya dia hanya sekadar mahu mencuba mengenakan tudung.

Malah, oleh kerana dia seorang yang aktif di laman Instagram, dia pun kerap memuat naik gambarnya bertudung yang ternyata mendapat reaksi positif daripada ramai pihak.

Tambah Tya lagi, penghijrahan itu juga langkah awal untuk dirinya membantu wanita lain untuk ke arah yang lebih baik.

Menerusi petikan daripada BH Online, Tya berkata, “Dalam hidup ini, apa yang pasti, kita sentiasa mahu menjadi insan yang lebih baik. Malah, dengan apa yang saya nikmati saat ini daripada Allah, saya fikir saya belum jadi hamba-Nya yang baik.”

9. Fathia Latiff

Pelakon Fathia Latiff membuat keputusan untuk kembali berhijab selepas mencetuskan kontroversi membuka tudung sebelum ini.

Menerusi petikan dari Harian Metro, Fathia berkata menerusi perbincangan hati ke hati dengan ibunya serta ahli keluarga telah membulatkan tekadnya untuk bertudung semula selepas lebih setahun menanggalkannya.

"Kata ummi (ibu), sampai bila saya asyik nak pakai dan buka tudung. Kita kena ada pendirian dalam hidup. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pula buat saya banyak luangkan masa dengan keluarga dan ada hikmahnya hingga saya buat keputusan ini.

"Sebelum ini pun saya tercari-cari pendirian sendiri. Apabila selalu bergaul dengan keluarga seperti solat Tarawih bersama, sedikit demi sedikit hidayah kembali datang," katanya.

Ujarnya lagi, perasaannya ternyata berbeza masa kini dan sewaktu dirinya tidak bertudung dan di mana dia akan berasa takut, cuak dan gemuruh kerana dipandang orang.

"Rasanya saya terlalu ego waktu buat keputusan tanggalkan tudung dulu. Tanpa tudung, perasaan saya tak tenteram dan aman. Sekarang saya keluar pun rasa lega," kata Fathia.

Alhamdulillah.

Moga dengan penghijrahan mereka ini dapat membuka pintu hati selebriti dan wanita lain untuk turut sama menutup aurat. :)

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Image via SAYS Seismik

Jadilah macam Raja Permaisuri Agong kita yang manis betul bertudung litup!

Lagi artikel menarik di SAYS Seismik:

More stories to read: