[VIDEO] Atlet Para Ini Pecah Rekod Dunia Powerlifting & Raih 2 Emas Dalam Masa 3 Hari
POWER GILA!
Anak jati Malaysia dari Sarawak, Bonnie Bunyau Gustin menggegarkan dunia apabila meraih dua pingat emas dan memecah satu rekod dunia dalam masa tiga hari menerusi acara 'Para Powerlifting'
Bonnie Bunyau Gustin membuktikan beliau berada di kelas tersendiri apabila meraih pingat emas Kejohanan Dunia Para Powerlifting di Nur Sultan, Kazakhstan semalam, 15 Julai 2019.
Bonnie yang baru berusia 20 tahun mengejutkan dunia apabila berjaya menewaskan juara Paralimpik, Paul Kehinde dari Nigeria dan Liu Lei dari China.
Lebih hebat lagi, atlet para Malaysia ini turut merangkul pingat emas dalam Kejohanan Dunia Remaja Para Powerlifting yang berlangsung tiga hari sebelumnya di lokasi yang sama.
12 Julai 2019: Pingat emas Kejohanan Dunia Remaja Para Powerlifting
Kejohanan Dunia Remaja Para Powerlifting: Bonnie memulakan aksi dengan melakukan angkatan seberat 170kg diikuti 180kg pada cubaan kedua dan berakhir dengan 190kg.
Pencabar terdekat dari Iraq, Ahmed Al-Karkhi hanya berjaya membuat satu angkatan seberat 140kg sahaja.
15 Julai 2019: Pingat emas Kejohanan Dunia Para Powerlifting
Kejohanan Dunia Para Powerlifting: Bonnie memulakan pertandingan dengan angkatan seberat 185 kg sebelum meneruskan angkatan dengan beban seberat 197 kg.
Dia berjaya muncul juara selepas melakukan angkatan seberat 207 kg yang juga satu rekod dunia bagi kategori remaja.
Pada ketinggian 132cm, beliau tidak menjadikan itu sebagai satu penghalang untuk dirinya mencapai kejayaan
Bercakap kepada paralympic.org, Bonnie tidak menyangka dapat menjuarai kejohanan tersebut.
“Saya sangat gembira. Saya tidak menyangka akan dapat memenangi pingat emas kerana ramai pesaing yang kuat dalam kategori saya.
“Tetapi saya yakin dengan diri sendiri, dengan kerja keras dan disiplin yang telah saya ikuti dalam sesi latihan. Ini adalah kejayaan terbesar saya,” kata Bonnie.
Dengan kejayaan ini, Bonnie secara automatik melayakkan diri untuk bertanding di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 tahun depan