seismik

Cikgu Komathy Cipta Sejarah Negara, Raih Anugerah Global Teacher Award 2021

Beliau dipilih sebagai pemenang daripada 321 calon dari Malaysia dan kira-kira 26,000 penyertaan dari negara-negara lain.

Cover image via Bernama

Follow kami di Telegram, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita dan artikel-artikel menarik di SAYS Seismik.

Satu lagi pencapaian membanggakan buat Malaysia, apabila seorang Guru Cemerlang Kimia dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ave Maria Convent Ipoh meraih anugerah antarabangsa The Global Teacher Award 2021

Image via Bernama

Memetik laporan Bernama, V. Komathy, 38, yang sudah 14 tahun berkhidmat, menerima pengiktirafan itu pada majlis yang dianjurkan secara maya menerusi laman Facebook dan saluran Youtube rasmi AKS Education Awards pada hari ini (24 Oktober 2021).

Ibu kepada tiga anak itu berkata beliau terkejut apabila menerima pemakluman daripada pihak penganjur mengenai kemenangan itu menerusi emel pada 29 September lepas.

"Saya masih tidak boleh percaya dipilih sebagai pemenang daripada 321 calon dari Malaysia dan kira-kira 26,000 penyertaan dari negara-negara lain.

"Daripada jumlah itu, 500 orang telah disenarai pendek termasuk enam calon rakyat Malaysia," katanya.

Berjaya hasil beberapa produk inovasi untuk mencungkil minat pelajar dalam subjek kimia hingga dikenali di peringkat antarabangsa

Image via Bernama

Komathy merupakan lulusan Sarjana Pendidikan Kimia daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan kini sedang melanjutkan pelajaran pada peringkat ijazah kedoktoran dalam Pendidikan Kimia di universiti sama.

Antara produk inovasi berkenaan ialah Chem-Ester Kit: Chem-Ester Kit 2.0 iaitu produk pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPC) Kimia berupa modul bimbingan berbentuk kad permainan dan direka bentuk bagi meningkatkan tahap penguasaan pelajar terhadap penulisan formula molekul, struktur, penamaan bagi sebatian alkana, alkena, alkuna, alkohol, asid karboksilik serta ester.

Beliau turut mencipta satu produk aplikasi ilmu Kimia dalam penyelesaian masalah iaitu Biomass Activated Carbon (BAC) for Toxic Dyes Removal: Towards a Sustainable Environment yang bertujuan mengembangkan karbon aktif biomas daripada tiga sisa pertanian, iaitu serabut tebu, sekam kelapa dan kulit pisang untuk menghilangkan pewarna beracun daripada air yang tercemar.

"Kimia memang subjek kurang digemari kerana penuh formula dan banyak melibatkan pengiraan, oleh sebab itu perlu mendidik dengan cara menghiburkan untuk menarik minat pelajar supaya tidak mudah putus asa untuk mempelajari subjek ini," ujarnya.

Anak murid jadi sumber inspirasi kepadanya untuk berusaha ke arah kecemerlangan bagi memenuhi keperluan pembelajaran mereka

Image via Bernama

Menurutnya anugerah-anugerah yang diterimanya sebelum ini dan The Global Teacher Award 2021 pada hari ini, akan dijadikan sebagai motivasi untuk mendidik dan melahirkan anak bangsa yang lebih maju.

Katanya beliau juga akan terus mengorak langkah dalam usaha mencipta pelbagai pembaharuan menerusi subjek Kimia.

Komathy memulakan kerjaya sebagai guru di SMK Methodist Girls School Ipoh pada 2007 selama enam tahun sebelum bertukar ke SMK Buntong dan dipindahkan ke SMK Ave Maria Convent Ipoh pada Februari lepas.

Beliau telah menghasilkan beberapa karya ilmiah dan pernah membawa pelajar SMK Buntong mewakili negara ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa dalam pelbagai acara akademik.

Tahniah diucapkan kepada Cikgu Komathy di atas pengiktirafan dan anugerah yang diterima.

Semoga kejayaan beliau ini menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia!

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Image via SAYS Seismik

Baca lagi artikel menarik hanya di SAYS Seismik:

You may be interested in: