"Dia Tidak Dibayar Sebarang Elaun" - Anwar Ibrahim Tampil Jawab Isu Pelantikan Nurul Izzah
Pelantikan Naib Presiden PKR itu yang berkuat kuasa sejak 3 Januari lalu, hangat diperkatakan di media sosial ketika ini.
Nurul Izzah Anwar yang dilantik sebagai sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan Perdana Menteri, tidak akan menerima sebarang elaun
Menerusi laporan Berita Harian, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sendiri mempelawa anaknya, yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu untuk membantunya sebagai penasihat di Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan.
"Ya, saya yang meminta, mempelawa dia untuk bantu saya tetapi saya tidak membayar apa-apa elaun kepada dia," katanya.
Pelantikan Naib Presiden PKR itu, yang berkuat kuasa sejak 3 Januari lalu, hangat diperkatakan di media sosial, ketika ini.
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, antara yang memuat naik komen dan ucapan tahniah yang dilihat sinis melalui ciapan di Twitter
Ditanya mengenai tahap kelulusan akademik Nurul Izzah, yang didakwa beberapa pihak sebagai tidak sesuai dengan jawatan penasihat itu, Anwar berkata, individu yang dilantik, walau sebagai menteri pun, tidak semestinya perlu mempunyai kelulusan akademik bersesuaian dengan portfolio yang dipegang.
Perdana Menteri berkata, Nurul Izzah juga mempunyai dua ijazah iaitu yang berkaitan dengan kejuruteraan dan ijazah sarjana dalam bidang dasar awam, yang merangkumi politik, ekonomi dan sosial, dari School of Advanced International Studies (SAIS), Universiti Johns Hopkins, Washington, universiti terkemuka di Amerika Syarikat.
"Saya pun tiada kelulusan berkaitan kewangan tetapi lapan tahun saya menjadi Menteri Kewangan sebelum ini.
"Menteri-menteri Perikatan Nasional (PN) sebelum ini pun tiada kelulusan berkaitan (portfoilo) masing-masing. Kalau nak dibangkitkan, mestilah konsisten.
"Apakah benar seorang Menteri Kesihatan mesti seorang doktor? Ataupun seorang Menteri Air mesti seorang jurutera? Tak pernah berlaku macam itu," katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau belum pernah mendengar kenyataan daripada pihak Ahmad Faizal, menyokong usaha kerajaan membersihkan negara daripada gejala rasuah yang disifatkan menjahanamkan negara.
"Dia berhak bertanya (mengenai pelantikan Nurul Izzah) tetapi saya hendak beritahu, yang penting sekali adalah hentikan curi tanah, pembalakan dan saham projek komisyen, yang menjahanamkan negara.
"Saya belum dengar lagi kenyataan mereka menyokong usaha membersihkan negara daripada gejala ini. Ya, semua bicara soal rasuah tapi bila kita sebut kes sebegini, dia kata (mempersoal) mengapa hendak bongkar kisah lama," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!