Filem Mat Kilau - Kebangkitan Pahlawan Kini Berjaya Raih RM7 Juta Dalam Masa 3 Hari
Terima kasih Malaysia diatas sokongan padu anda terhadap filem tempatan kita.
Follow kami di Telegram, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita dan artikel-artikel menarik di SAYS Seismik.
Filem Mat Kilau - Kebangkitan Pahlawan terus mencipta sejarah apabila meraih kutipan RM7 juta sejak mula ditayangkan di pawagam tempatan, 23 Jun lalu
Pada hari pertama tayangan, filem terbitan Studio Kembara ini mencipta rekod sebagai filem epik tempatan pertama mencatat kutipan RM1 juta.
Tayangan pada hari kedua, iaitu Jumaat lalu, menyaksikan filem arahan Syamsul Yusof, 38, itu meraih kutipan RM2.8 juta.
Sehingga semalam, filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan sudah mencatat kutipan RM7 juta dengan jualan tiket dijangka meningkat hari ini berikutan cuti umum bagi kebanyakan negeri.
Mat Kilau - Kebangkitan Pahlawan berjaya mengetepikan filem luar negara termasuk Hollywood
Menerusi laporan Berita Harian, mengulas mengenai kutipan tiket itu, Syamsul bangga kerana karya filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan berjaya mengetepikan filem luar negara termasuk Hollywood.
"Ini petanda rezeki daripada Allah, selain kerja keras yang sudah ditunjukkan semua pelakon dan pasukan penerbitan sepanjang proses penggambaran.
"Kita juga hebat dan mampu bersaing dengan filem Hollywood. Kita mampu bersaing dengan orang lain dalam apa juga bidang.
"Mat Kilau bukan sahaja pecah rekod pembukaan hari pertama, malah, mengetepikan filem Hollywood yang sedang ditayangkan di negara kita.
"Melihat komen positif mereka yang sudah menontonnya, saya amat terharu," katanya.
Sementara itu, Penerbit merangkap Pengarah Urusan Studio Kembara, Abdul Rahman Mt Dali bersyukur dengan sambutan baik penonton.
"Kami harus berterima kasih kepada penonton yang membanjiri pawagam di seluruh negara termasuk di Brunei dan Singapura.
"Kutipan jualan tiket pada hari pertama sebanyak RM1 juta dianggap rekod tertinggi dan sangat bererti kepada kami dan industri filem.
"Ini memberi mesej penonton sudah sekian lama menanti karya begini. Ia juga membuktikan mereka menyokong penerbit yang menghasilkan filem seperti ini," katanya.
Abdul Rahman berkata, pendekatan menghasilkan filem berkonsep hiburan yang bermanfaat, diterima baik penonton.
"Kami dimaklumkan ada penonton yang sudah 50 tahun tidak masuk pawagam, tetapi kali ini terpanggil untuk menonton filem yang sarat mesej dan menghiburkan," katanya.
Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan diterajui Datuk Adi Putra yang diberi tanggungjawab menghidupkan watak pahlawan Mat Kilau Imam Rasu atau Mat Kilau.
Filem itu disokong bintang hebat termasuk Wan Hanafi Su sebagai ayah Mat Kilau iaitu Tok Gajah, Beto Kusyairy (Wahid), Khir Rahman (Usup), Fattah Amin (Awang) dan Johan As'ari (Yassin).
Tak ketinggalan Datuk Rahim Razali, Namron, Shaharuddin Thamby, Ellie Suriaty, Farah Ahmad dan aktor aksi handalan Indonesia, Yayan Ruhian sebagai Toga.
Filem Mat Kilau dibikin dalam suasana 1892 ketika kolonial British menduduki tanah di Pahang. British mengaut hasil bumi Pahang milik orang Melayu dan mencampuri urusan adat dan agama orang Melayu.
Tidak membiarkan kebiadapan British di bumi Pahang berleluasa, Mat Kilau, Tok Gajah dan sahabatnya bangkit menentang British.
Kebijaksanaan Mat Kilau dan Tok Gajah merancang penentangan menyebabkan British mengalami tekanan dan kerugian hingga berlakunya pertempuran sengit.
Tahniah Mat Kilau! Filem epik Melayu yang menerima kutipan paling tinggi dalam sejarah.
Tidak lupa juga kepada rakyat Malaysia diatas sokongan padu anda semua terhadap filem tempatan kita. Takbir!
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!