Gadis Ini Dapat Jemputan Pengasas Charles & Keith Lepas Videonya Diejek Jenama Beg ‘Mewah'
Keluarganya berpindah ke Singapura dari Filipina pada tahun 2010.
Awal bulan ini, seorang gadis berusia 17 tahun diejek oleh warga Singapura di TikTok selepas dia menyiarkan videonya membeli beg daripada jenama Singapura Charles & Keith (C&K) dan menyifatkannya sebagai "beg mewah pertamanya"
Dalam video itu, remaja berkenaan mengucapkan terima kasih kepada bapanya kerana menghadiahkan beg mewah itu.
Dia juga berkongsi rasa teruja dan dilihat gembira membuka kotak dan memodelkan Beg Tote Double Handle hitam, yang berharga SGD79.90 di laman web Charles & Keith Singapura iaitu RM299.90 di laman web Malaysia. Ia adalah beg termahal yang dimilikinya.
Walau bagaimanapun, kegembiraannya tidak dirasai dengan orang lain yang mengejek remaja itu kerana menganggap ia adalah jenama mewah. Mereka menyifatkan bahawa dia jahil dan sepatutnya tahu lebih baik daripada memikirkan sesuatu yang sangat murah.
Lihat video itu di bawah:
Kongsi video susulan, di mana dia menangani komen negatif yang diterimanya
Tidak seperti video pertamanya yang penuh kegembiraan, video susulannya agak sedikit beremosi kerana dia berkongsi tentang kesulitan kewangan keluarganya dan betapa dia bersyukur menerima hadiah seperti itu daripada bapanya yang bekerja keras.
"Wang adalah topik yang paling membuatkan saya tidak selesa untuk bercakap kerana ketika membesar, saya tidak mempunyai banyak," katanya sambil menangis.
"Itu adalah satu kemewahan kepada kami apabila kami mula-mula berpindah ke Singapura. Setiap kali kami melalui kedai itu, ibu bapa saya hanya akan berkata 'lain kali' tetapi kali seterusnya tidak akan datang," ujarnya.
Dia juga membidas salah satu komen negatif dengan menyatakan bagaimana kekayaan menjadikan seseorang itu 'jahil'.
"Bagi anda, beg SGD80 mungkin bukan satu kemewahan, tetapi bagi saya dan keluarga saya ia adalah banyak. Dan saya sangat bersyukur kerana ayah saya dapat membelikannya untuk saya"
"Saya tidak percaya saya dibenci kerana beg yang saya sangat teruja untuk memilikinya." katanya.
Lihat video sambungan di bawah:
Terkejut terima maklum balas daripada pengasas Charles & Keith sendiri
Menurut jurucakap syarikat itu, pengasas tersebut telah menjemput Zoe dan bapanya keluar untuk makan tengah hari yang akan diikuti dengan lawatan ke ibu pejabat jenama itu.
"Hati kami benar-benar tertuju kepada Zoe, kami sangat kagum dengannya dan cara dia mengendalikan situasi itu, ia menunjukkan kebijaksanaan jauh melebihi usianya, dan nilai yang sangat bermakna buat kami.
"Pengasas kami percaya bahawa produk kami harus mencetuskan kegembiraan, memperkasakan pencinta fesyen, dan memberi mereka keyakinan, sesuatu yang kami percaya dia mempersembahkan dengan begitu yakin dalam videonya," The Straits Times memetik jurucakap itu sebagai berkata.
Gadis itu berkongsi di Instagramnya, bahawa dia dan bapanya diberi peluang untuk melawat sendiri ibu pejabat Charles & Keith dan dapat melihat lebih lanjut tentang perkara apa yang berlaku di sebalik tabir.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!