Hanya Kerana Gam RM2, Betis Budak 3 Tahun Ini Melecur Teruk Dan Terpaksa Jalani Pembedahan
Sila simpan alatan yang berbahaya di tempat yang selamat.
Nur Hasya Yusra Shahrul Izuan mengalami lecur teruk pada bahagian betis selepas gam '3 Second OK' terkena seluar yang dipakainya
Farhah Nuar, 27, seorang pengusaha pelamin sangat tidak menjangkakan bahawa gam yang berharga RM2 yang dibelinya untuk membaiki peralatan pelamin dan menyiapkan barang hantaran perkahwinan mampu mengakibatkan betis anaknya melecur sehingga terpaksa menjalani pembedahan.
Kejadian malang yang menimpa anaknya yang berusia 3 tahun itu menjadi perhatian netizen selepas beliau memuatnaik status di Facebook sehingga mendapat lebih 25 ribu shares.
"Selepas selesai menyiapkan kerja, saya segera menyimpan gam itu, tetapi tidak menyangka Nur Hasya ternampak dan mengambilnya. Saya kemudian dikejutkan dengan jeritan anak selepas terkena gam di bahagian pergelangan tangannya.
"Saya dan suami segera mengambil anak dan membasuh tangannya dengan air laju. Dalam keadaan anak yang sudah basah, saya pun terus menanggalkan pakaiannya.
"Malangnya ketika ingin membuka seluar yang dipakainya, saya dapati ia sudah melekat pada bahagian betis kirinya," jelasnya lagi.
"Pada mulanya, Nur Hasya mendapatkan rawatan di Hospital Dungun tetapi kemudian dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bertemu pakar kulit kerana bimbang bahan kimia yang terdapat pada gam itu akan merebak sekiranya tidak dibedah.
"Anak saya menjalani pembedahan di HSNZ dan doktor perlu membuang isi dan kulit yang terkena gam itu hingga paras lemak kerana bimbang bahan kimia yang tertinggal boleh mengakibatkan kaki anak saya semakin teruk.
"Alhamdulillah, selepas beberapa hari menjalani pembedahan, kaki anak saya semakin pulih," katanya.
Tambah Farhah lagi, dia tidak menyangka kejadian itu mendapat perhatian ramai, malah ada juga yang berkongsi pengalaman di ruangan komen statusnya