seismik

Anak Jati Terengganu Ini Adalah Pengasas Perlumbaan Off-Road Paling Ekstrem Di Dunia. Wow!

Dari Kuala Terengganu ke pentas dunia!

Cover image via Rainforest Challenge (Facebook)

Follow kami di Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Sosok hebat ini tidak begitu dikenali dalam kalangan marhaen macam kebanyakan kita

Bila disebut namanya, pasti ramai yang tertanya-tanya siapakah individu yang dimaksudkan tersebut.

Namun dalam dunia sukan off-road 4x4, beliau merupakan antara figura yang paling dihormati di serata dunia.

Dialah Luis Wee, pengasas perlumbaan off-road paling ekstrem di dunia yang diberi nama Rainforest Challenge.

Luis Wee, Pengasas Rainforest Challenge

Image via Rainforest Challenge (Facebook)

Luis memulakan Rainforest Challenge atau RFC pada tahun 1997 atas dasar minat yang mendalam terhadap sukan 4x4

Sehingga ke hari ini, RFC telah berkembang ke seluruh pelosok benua dan menjadi salah satu perlumbaan off-road yang paling dinantikan-nantikan setiap tahun.

“Saya merupakan seorang peminat tegar 4x4 ketika saya memulakan RFC pada tahun 1997,” kata Luis. 

“Perlumbaan yang paling ikonik pada ketika itu ialah Camel Trophy. Saya mengambil inspirasi daripada perlumbaan tersebut dan menubuhkan perlumbaan saya sendiri di Malaysia. Jadi di situlah bermulanya Rainforest Challenge,” katanya lagi.

Meskipun perjalanan RFC sudah melebihi 25 tahun, Luis Wee berkata tidak semuanya indah dan beliau menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan untuk mengekalkan perlumbaan legenda ini.

“Saya bermula dari kosong. Tahun 1997, ketika saya memulakan RFC merupakan tempoh krisis kewangan Asia yang terburuk. Mata wang Baht, Thailand jatuh, begitu juga dengan Ringgit Malaysia. 

"Nak dapatkan penaja pun susah dan banyak syarikat terpaksa gulung tikar di seluruh Asia, namun saya cukup bernasib baik apabila berjaya merasmikan edisi pertama RFC di Kuala Lumpur,” katanya.

RFC edisi pertama pada 1997 dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika itu.

Image via Rainforest Challenge (Facebook)

Apabila ditanya tentang kenangan yang paling tidak dapat dilupakan, Luis memilih tahun 2007 sebagai perlumbaan yang paling ikonik di mana ramai peserta terdampar di dalam hutan tebal selama berjam-jam akibat banjir kilat yang dahsyat.

“Saya ada terlalu banyak pengalaman yang tidak dapat dilupakan, tetapi perlumbaan pada tahun 2007 merupakan yang paling ikonik. Pada waktu itu peserta masuk ke dalam hutan menggunakan kenderaan 4x4 tetapi keluar semula dengan bot,” cerita Luis.

“Hujan turun dengan sangat lebat tanpa henti, dan banjir kilat yang terhasil ketika itu begitu dahsyat sehingga menyebabkan kenderaan terkandas di dalam hutan. Kami terpaksa dibawa keluar oleh polis dan pasukan penyelamat setelah berjam-jam terdampar dan mujur semua peserta selamat.

“Kenderaan 4x4 kami terbiar di dalam hutan selama lebih dua bulan, menjadikannya RFC yang paling lama berlangsung. Kejadian ini begitu ikonik dan istimewa kerana ia berlaku di kampung halaman saya, Kuala Terengganu,” ceritanya lagi.

Rainforest Challenge atau RFC digelar sebagai salah satu perlumbaan off-road paling ekstrem di dunia

Menurut Škoda Motorsport, RFC kini berada di tempat ketiga di belakang Baja 1,000 dan Dakar Rally dalam senarai Five Toughest Off-road Races in the World.

Siapa sangka, idea kecil seorang budak kampung dari Kuala Terengganu boleh memberi impak yang sangat besar terhadap komuniti 4x4 di seluruh dunia. 

Perjalanan Rainforest Challenge selama 25 tahun merupakan satu pencapaian yang sememangnya amat luar biasa.

“Saya tetap seorang budak kampung sehingga ke hari ini. Itu satu perkara yang bagus kerana ia membuatkan saya menghargai banyak perkara baik dalam hidup,” ujar Luis merendah diri.



Dalam pada kita mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh bangga sempena Hari Kebangsaan, pencapaian Luis Wee membuktikan bahawa kreativiti dan inovasi tidak mempunyai batas sempadan.

Rainforest Challenge terus menjadi contoh cemerlang dan kisah kejayaan Luis Wee harus dirai oleh semua lapisan masyarakat di bawah panji perpaduan dan semangat ‘Malaysia Boleh’.

Terima kasih Luis Wee kerana telah mengangkat nama Malaysia ke persada antarabangsa!

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik

Baca lagi artikel menarik lain hanya di SAYS Seismik:

You may be interested in: