Kerajaan Selangor Pertimbang Penjawat Awam Wanita Untuk Pulang Awal Ketika Ramadan
Difahamkan, perkara itu mengikut kepada keperluan dan masa yang telah ditetapkan.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kerajaan Selangor akan mempertimbangkan untuk memberi kelonggaran kepada penjawat awam wanita pulang awal ketika Ramadan
Menerusi laporan, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memberitahu pihaknya akan berbincang cadangan tersebut dalam masa terdekat bersama Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
"Kita akan bincang dengan MMKN jika ada keperluan, tetapi setakat ini masa yang telah ditetapkan itu mencukupi untuk mereka pulang bekerja dan sebagainya.
"Ikut kepada keperluan dan masa yang telah ditetapkan, kita juga ada pertimbangkan waktu fleksibel, kalau mereka pulang awal, perlu juga datang awal supaya masa kerja tak terganggu serta ada peluang tunaikan tanggungjawab sediakan juadah dan sebagainya," katanya.
Difahamkan, sebelum ini, Negeri Sembilan telah membenarkan penjawat awam wanita yang bekerja di bawah pentadbiran kerajaan negeri pulang seawal jam 2 petang pada setiap Jumaat, pada Ramadan ini.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun memberitahu kebenaran itu hanya membabitkan hampir 2,500 pekerja wanita, tidak termasuk yang berada di bawah Persekutuan.
Amirudin turut mengulas mengenai isu peniaga mengaut keuntungan dengan ‘ali baba’ tapak bazar Ramadan.
Beliau berkata, pihaknya akan bertindak tegas dan menyenarai hitamkan mana-mana individu yang terlibat.
"Setakat ini kita belum ada terima laporan seperti tahun lepas tetapi kita sudah minta pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memantau dan ambil tindakan.
"Mereka yang terlibat akan disenarai hitam dan tidak dibenarkan berniaga... apatah lagi apabila melibatkan kos tinggi kepada tapak-tapak yang telah kita siapkan," katanya.
Sementara itu, beliau berharap agar isu tersebut akan segera ditangani agar tiada sebarang bentuk penganiayaan berlaku kepada para peniaga.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!