KWSP Umum Dividen 5.20 Peratus Bagi Simpanan Konvensional, 4.90 Peratus Simpanan Shariah
Walaupun berdepan pandemik Covid-19, KWSP mampu beri dividen lebih 5 peratus.
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan dividen 5.20 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 4.90 peratus bagi Simpanan Shariah untuk tahun kewangan 2020
Menurut sumber, pembayaran dividen bagi Simpanan Konvensional adalah RM42.88 bilion, manakala bagi Simpanan Shariah 2019 adalah RM4.76 bilion dengan agihan dividen keseluruhan bagi 2020 adalah RM47.64 bilion.
KWSP pada tahun lalu mengumumkan kadar dividen 5.45 peratus untuk Simpanan Konvensional 2019, dengan agihan dividen sebanyak RM41.68 bilion dan 5.0 peratus untuk Simpanan Shariah, dengan agihan dividen RM4.14 bilion.
Angka itu menurun sedikit berbanding kadar pada 2018 yang mana untuk konvensional ialah 6.15 peratus, manakala syariah sebanyak 5.9 peratus.
Menepati jangkaan dan ramalan penganalisis kewangan serta ditambah pula dengan pandemik Covid-19 yang melanda
Berdasarkan laporan sebelum ini, rata-rata penganalisis menjangkakan KWSP berupaya memberikan dividen pada kadar antara lima hingga enam peratus bagi 2020, berdasarkan prestasi pelaburannya dalam tempoh sembilan bulan tahun itu.
Menurut mereka lagi, KWSP dijangka mampu memberikan dividen melebihi lima peratus tahun ini dan lebih baik berbanding Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang memberikan dividen 4.25 peratus.
Dalam pada itu, menurut kenyataan KWSP, "Dengan purata lima tahun dividen sebenar pada kadar 4.62 peratus untuk Simpanan Konvensional dan 4.32 peratus bagi Simpanan Shariah selepas diselaraskan untuk inflasi, KWSP mengatasi sasaran strategik dengan pengisytiharan purata dividen sebenar tidak kurang daripada dua peratus dalam tempoh lima tahun berturut-turut," katanya.