seismik

[MAHKAMAH] Muhyiddin Didakwa Terima RM5 Juta Hasil Daripada Aktiviti Haram

Kesalahan itu didakwa dilakukan di AmBank cawangan Amcorp Mall, Jalan Persiaran Barat, Petaling Jaya pada 7 Januari 2022.

Cover image via Bernama via The Sun Daily & Warta Rakyat

Follow kami di Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor hari ini, atas satu pertuduhan terbabit aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM5 juta, awal tahun lalu

Menurut laporan, Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md Yasin, 76, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Ia adalah kali kedua Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu dihadapkan ke mahkamah.

Jumaat lalu, beliau mengaku tidak bersalah terhadap enam pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan RM232.5 juta serta RM195 juta.

"Saya faham dan mengaku tak bersalah,"
kata Muhyiddin pada prosiding hari ini.

Muhyiddin diiringi isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman ketika hadir ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Image via Hairul Anuar Rahim/Harian Metro

Muhyiddin didakwa terima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang RM5 juta

Mengikut pertuduhan terbaharu, Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang RM5 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank, milik parti.

Kesalahan itu dilakukan di AmBank cawangan Amcorp Mall, Jalan Persiaran Barat, Petaling Jaya, 7 Januari 2022.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan berkenaan dilakukan, atau RM5 juta, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, Mohd Fadhly Mohd Zamry, Zander Lim Wai Keong, Kalai Vani Annadorai dan Maziah Mohaide.

Muhyiddin pula diwakili sembilan peguam iaitu Datuk K Kumaraendran, Chetan Jethwani, Dev Kumaraendran, Amiratu Al Amirat Salleh Mohamed Garbaa, Mohamad Isa Mohamad Basir, Shahir Ab Razak, Teh See Khoon, Varsha Chelvi dan Raja Syuhada Raja Khairuddin.

Prosiding kes diketuai Peguam Cara Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik

Baca lagi artikel menarik lain hanya di SAYS Seismik:

You may be interested in: