[MAHKAMAH] Muhyiddin Didakwa Terima Rasuah RM232.5 Juta, Ubah Wang Haram RM195 Juta
Muhyiddin didakwa enam pertuduhan bagi kesalahan menerima rasuah dan penggubahan wang haram.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM232.5 juta dan pengubahan wang haram berjumlah RM195 juta
Menurut laporan, Muhyiddin, 76, didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya menerima rasuah dan dua pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram.
Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu, yang juga Pengerusi Perikatan (PN) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi.
"Mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan," kata Muhyiddin.
Pendakwaan terbabit menjadikan beliau sebagai bekas Perdana Menteri kedua yang terkenal dengan panggilan 'Abah' didakwa di mahkamah atas kesalahan menerima rasuah dan pengubahan haram.
Muhyiddin didakwa enam pertuduhan bagi kesalahan menerima rasuah dan penggubahan wang haram
Bagi pertuduhan pertama, Muhyiddin didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan, iaitu wang berjumlah RM200,000,000 daripada Bukhary Equity Sdn. Bhd bagi milik parti, Bersatu.
Beliau turut didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan iaitu wang berjumlah RM1,000,000 daripada syarikat Nepturis Sdn Bhd bagi milik partinya, Bersatu.
Bagi pertuduhan ketiga, beliau juga didakwa menggunakannya untuk suapan, iaitu wang berjumlah RM19,500,000 daripada syarikat Mamfor Sdn Bhd bagi milik partinya.
Pertuduhan keempat pula, tertuduh didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan, iaitu wang berjumlah RM12,000,000 bagi milik partinya daripada Azman Yusoff.
Semua kesalahan itu dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Blok Utama, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di Wilayah Persekutuan Putrajaya, antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.
Muhyiddin juga didakwa sebagai Presiden Bersatu menerima RM120 juta dan RM75 juta daripada sebuah syarikat yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Bersatu.
Kesalahan itu dilakukan di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral, di sini, antara 25 Februari 2021 hingga 8 Julai 2022.
Pendakwaan mengikut Seksyen 4 (1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan hukuman penjara maksimum 15 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan oleh Peguam Cara Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh manakala tertuduh diwakili peguam Datuk K Kumarendran, Rosli Dahlan, Datuk Takiyuddin Hassan, Chetan Jethwani, Dev Kumaraendran, Mohamad Isa Mohamad Basir, Teh See Khoon dan Varsha Chelvi.
Mahkamah membenarkan Muhyiddin diikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin berserta syarat tambahan iaitu serahan pasport sehingga kes selesai.
Mahkamah juga menetapkan 26 Mei ini untuk sebutan semula kes.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!