Motosikal Baru Dengan Enjin 150cc Ke Atas Kini Wajib Ada ABS Bermula 1 Januari 2025
Untuk rekod, ABS berupaya mengurangkan kadar kemalangan maut sebanyak 31 peratus.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Bermula 1 Januari tahun depan, semua motosikal baharu dengan enjin berkapasiti 150cc dan ke atas wajib memiliki Sistem Brek Anti-Kunci (ABS)
Berikut kenyataan yang diberikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Pelancaran Persidangan Keselamatan Jalan Raya Asia (CARS) 2024.
Beliau memberitahu ia adalah antara insiatif diambil kerajaan dalam menangani kes kemalangan jalan raya khususnya membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.
"Mari kita bermula dengan menjadikan penunggang motosikal lebih selamat kerana 65 peratus daripada jumlah kematian jalan raya tahun lalu, membabitkan penunggang motosikal.
"Jadi bermula 1 Januari 2025, semua motosikal baharu dengan enjin kapasiti 150cc ke atas wajib dipasang ABS," katanya.
Menurut beliau, kerajaan memutuskan perkara itu kerana berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ABS berupaya mengurangkan kadar kemalangan maut sebanyak 31 peratus.
"Malaysia antara negara di Asia Tenggara yang berdepan isu ini. Walaupun kadar kematian per 100,000 orang menurun daripada 27 peratus pada 2000 kepada 22.5 peratus pada 2019, ia tetap antara yang tertinggi di dunia.
"Jadi saya yakin inisiatif ini akan mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya di Malaysia," katanya.
Beliau berharap insiatif terbabit dapat menjadi inspirasi kepada negara ASEAN lain untuk melaksanakan langkah sama sekali gus menjadikan motosikal sebagai kenderaan yang selamat digunakan.
Ahmad Zahid juga mencadangkan supaya Program Penilaian Motosikal di Malaysia (MyMAP) dilaksanakan di seluruh negara ASEAN atau Asia.
Tambahnya, MyMAP yang memberi penarafan kepada motosikal berdasarkan piawaian kenderaan itu mampu memberi kelebihan kepada pengguna untuk membuat penilaian sebelum membeli kenderaan berkenaan.
"Setakat ini, MyMAP sudah menilai 28 jenis model motosikal dihasilkan tujuh syarikat pengeluar dan kenderaan ini diberikan rating 'bintang'," katanya.
Turut hadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!