Pemilik Restoran Di Langkawi Terkejut Ada Pelanggannya Yang Singgah Makan Naik Helikopter
Wah, bukan biasa-biasa datang naik helikopter!
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Tular baru-baru ini di laman Facebook, seorang pemilik restoran mendapat panggilan daripada pelanggannya yang ingin datang untuk menjamu selera dengan menaiki helikopter
Menerusi video yang dimuat naik di Facebook Dangau Langkawi, kelihatan sebuah helikopter tiba di kawasan lapang berhampiran restoran tersebut.
Menurut laporan New Straits Times, pemiliknya yang bernama Zaidi Hassan menerima panggilan telefon itu pada 1.35 tengah hari.
"Saya ingatkan pemanggil adalah salah seorang rakan saya yang sedang bergurau. Pemanggil itu memesan 'set talam' untuk makan tengah hari di restoran saya dan berkata dia dan beberapa orang kawannya akan datang dengan helikopter.
"Saya tanya sama ada dia serius. Dia suruh saya tunggu sebab dia akan tiba dalam masa 15 minit. Dia juga bertanya kepada saya sama ada terdapat tempat berhampiran untuk helikopter itu mendarat," katanya.
Tidak lama kemudian, dia terdengar bunyi helikopter terbang di atas restorannya.
"Ia mendarat di kawasan lapang kira-kira 20 meter dari restoran saya. Enam orang melangkah keluar dan menuju ke restoran. Mereka turut disertai lebih kurang 10 hingga 15 orang lain yang datang dengan kereta," katanya lagi.
Menurutnya, pelanggan membelanjakan kira-kira RM500 untuk 'set talam' itu yang terdiri daripada kari ikan, sambal udang petai, ikan bakar, ulam dan sambal belacan serta minuman.
"Mereka menghabiskan kira-kira sejam di sini sebelum bertolak. Saya tidak mengenali mereka. Saya tidak bertanya siapa mereka dan dari mana mereka datang. Tetapi, saya ada dengar seseorang memanggil salah seorang daripada mereka sebagai Datuk," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!