Peserta Top 100 'Calpis Soda One In Million 2024' Secara Rasmi Diperkenalkan Kepada Umum
Hanya 12 peserta terbaik akan dipilih juri untuk berentap dalam Calpis Soda OIAM yang disiarkan TV3 mulai 22 Disember ini, jam 9 malam.
Bersiap sedia untuk fenomena muzik terhebat! Calpis Soda bersama-sama Media Prima dengan bangganya mempersembahkan kebangkitan terulung program realiti ikonik Calpis Soda One In A Million (OIAM) 2024!
Selepas selesai sesi uji bakat yang menggemparkan dan berjaya menarik lebih 5,000 penyertaan dari seluruh Malaysia, dari tujuh buah lokasi dan platform atas talian, kini peserta Top 100 terbaik telah diumumkan.
Barisan peserta Top 100 itu terpilih daripada sesi uji bakat diadakan di beberapa lokasi baru-baru ini dan mereka berusia antara 16 hingga 58 tahun.
Persaingan pencarian bakat yang paling berprestij di Malaysia ini kini melangkah ke fasa baharu yang lebih mendebarkan!
Pengurus Besar Kandungan TV3, Marlia Zul Amran berkata, bagi pencarian peserta Calpis Soda OIAM terbaru ini, sesi uji bakat tidak hanya dibuat di lapangan (lokasi terpilih), tetapi diadakan juga secara dalam talian.
"Kebanyakan peserta yang datang uji bakat ini memang terdiri dari pelbagai peringkat usia dan latar belakang pekerjaan. Ada yang memang dah jadi penyanyi dan pernah rakam lagu, tapi datang mencuba nasib.
"Begitu juga, dalam kalangan penyanyi baharu juga hadir untuk diuji bakat. Jadi, ia menunjukkan tiada halangan kepada sesiapa saja untuk hadir ke sesi uji bakat dibuat, tapi semestinya kami mencari yang terbaik," katanya.
Semua peserta juga diingatkan agar mengambil peluang diberikan di platform Calpis Soda OIAM dengan sebaik mungkin
"Ruang sudah kami berikan. Jadi, peserta seharusnya mengambil peluang baharu yang disediakan ini dengan sebaik mungkin, termasuk cuba mengambil positif segala komen daripada juri.
"Kadang-kadang, ada peserta yang tidak mahu mengambil peluang diperoleh itu dengan sebaiknya. Bagaimanapun, sebaik keluar atau dah menang dalam program ini nanti, perkara utama perlu dikekalkan adalah sikap.
"Dalam soal ini (bertahan lama), kita boleh lihat contoh artis lama yang masih kekal relevan hingga sekarang kerana sikap yang baik mereka dengan peminat dan perkara ini (sikap baik) haruslah diutamakan," kata Marlia ketika ditemui pada sidang media pengumuman peserta Top 100.
Selain Marlia, hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Nini Yusof; Pengurus Besar Kanan Penerbitan Filem, Muzik dan Kandungan Rancangan Rangkaian Televisyen Media Prima, Shahila Harun dan Ketua Pegawai Eksekutif Etika Sdn Bhd untuk Malaysia, Singapura, dan Brunei, Santharuban Thurai Sundaram.
Daripada peserta Top 100 ini, ada beberapa fasa saringan lagi akan dibuat oleh juri, sebelum hanya 12 peserta terbaik dipilih untuk berentap dalam Calpis Soda OIAM yang disiarkan TV3 mulai 22 Disember ini, jam 9 malam.
Calpis Soda OIAM juga menyaksikan pembabitan dua figura nyanyian berpengalaman iaitu Datuk Yusry Abdul Halim dan Ziana Zain sebagai juri tetap bersama-sama penyanyi popular Indonesia, Cakra Khan.
Hanya mencari seorang 'juara bertuah' untuk lapan minggu pertarungan, pemenang utama Calpis Soda OIAM akan meraih hadiah berupa wang tunai RM500,000, sebuah kereta bernilai RM200,000 dan kontrak rakaman eksklusif di bawah Alternate Records & Talents selama dua tahun.
Calpis Soda OIAM 2024 akan dihoskan oleh penyampai radio Haniff Hamzah dan pengacara, Fiza Frizzy.
Untuk rekod, tiga juara terdahulu ialah Suki Low, Ayu Damit dan Tomok, selain pernah disertai Yuna, Dayang Nufaizah, Faizal Tahir, Shila Amzah, Alif Satar dan ramai lagi.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita ‘mesti kongsi’ sekarang!