Stres Dengar Bunyi Kereta Bising, Lelaki Bina 11 Bonggol Ini Mohon Maaf Guna Duit i-Sinar
Wow, sampai 11 bonggol dia bina.
Tular di laman sosial mengenai seorang individu telah berkongsi gambar jalan masuk ke rumahnya yang dibina sebanyak 11 bonggol baru menggunakan jalan tar.
Difahamkan, dia membina bonggol tersebut kerana terganggu dengan bunyi kenderaan disebabkan segelintir penduduk yang memandu laju di kawasan itu tanpa mengira masa.
Berita tersebut kemudiannya mendapat perhatian warganet dan juga perhatian pihak berkuasa.
Sanggup guna duit i-Sinar untuk bina 11 bonggol baru
Menerusi sumber, lelaki berkenaan memberitahu dia telah membelanjakan RM1,080 daripada pengeluaran RM5,000 wang i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membina bonggol-bonggol tersebut.
Malah, tindakannya itu sekali gus telah menyusahkan penduduk untuk keluar masuk ke jalan utama.
Mohon maaf bina 11 bonggol, telah meratakan semula kesemuanya
Akibat daripada kejadian itu, lelaki tersebut tampil memohon maaf dan mengakui kesilapannya membina bonggol sebanyak itu dalam jarak tidak sampai 40 meter.
"Bilik tidur saya berada di bahagian tepi yang berdekatan dengan jalan itu menyebabkan bunyi bising kereta dan motosikal mengganggu tidur"Dia juga memberitahu bahawa ada pegawai polis yang datang berjumpa dan menasihatinya dengan baik untuk membuang semua bonggol tersebut.
"Saya tertekan sangat dengan masalah ini tambahan pula saya mempunyai masalah kesihatan (gangguan mental) tetapi belum lagi mendapatkan rawatan," katanya.
Oleh kerana itu, dia telah mengupah sebuah jentolak untuk meratakan semua 13 bonggol termasuk dua bonggol asal yang ada di situ.